Dakwaan tambang naik mendadak, menteri mahu syarikat e-hailing kemuka alasan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan e-hailing perlu mengemukakan alasan kepada pengguna perkhidmatan itu, susulan dakwaan berlaku kenaikan harga tambang mendadak, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Katanya, setakat ini belum ada kesahihan berhubung perkara itu, namun kementeriannya akan memanggil pengendali bagi menjawab aduan pengguna.

“Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak.

“Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat. Sebagai pembuat dasar, kita tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan mencari keuntungan,” katanya pada sidang media selepas melawat lif dan eskalator di LRT Ampang Park.

Pada 19 Mei lalu, media melaporkan perkhidmatan e-hailing didakwa menaikkan kadar tambang yang melampau dan membebankan pengguna.

Ketua Aktivis Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamaruddin Hussain, berkata peningkatan tambang operasi industri e-hailing sepatutnya dipantau kerajaan bagi mengelakkan perkara itu berlarutan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Wee berkata, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti.

Wee berkata, segala panduan penggunaan dan pengelolaan kenderaan itu akan diumumkan pihaknya tidak lama lagi.

Sebelum ini, beliau berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti memerlukan lesen pengoperasian.

Mengulas berhubung perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang terjejas dua kali dalam tempoh dua minggu, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat dan mencari punca kerosakan.

Jumaat lalu, kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup (caliper) brek hidraulik.

Leave a Reply