Konsert 50 tahun Hetty Koes Endang bakal diadakan Ogos nanti

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Menyambut ulang tahun ke-50 pembabitannya dalam bidang seni, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang mahu memahat kenangan manis dengan menganjurkan konsert istimewa.

Dibawakan khas Mahajaya Empire Sdn Bhd, Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang ini bakal berlangsung pada 27 Ogos depan di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Penganjuran konsert ini juga sebagai melunaskan impian penyanyi yang popular dengan lagu Berdiri Bulu Romaku itu selepas dua tahun tertangguh berikutan pandemik COVID-19.

Berkonsepkan makan malam, konsert berdurasi selama 120 minit ini bakal menyaksikan Hetty mendendangkan kira-kira 15 lagu popularnya.

Lebih istimewa, menerusi persembahannya itu, Hetty akan mendendangkan beberapa lagu khas sebagai tribute buat komposer tersohor, Datuk Ahmad Nawab dan penyanyi legenda, Broery Marantika.

Seperti peminat sedia maklum, Hetty pernah menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Nawab. Antaranya, Inginku Sandarkan Harapan dan Pedihnya Rasa.

Mengiringi persembahan Hetty pada malam itu adalah Datuk Ramli MS yang bertindak sebagai pengarah muzik.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang, ilassoticket.com.

©Berita Harian

Leave a Reply