Piala Dunia Qatar 2022 bakal tampilkan pengadil wanita

Hebahkan !!!

Piala Dunia FIFA Qatar 2022 bakal menyaksikan kemunculan pengadil wanita buat pertama kali dalam sejarah.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, badan bola sepak dunia itu berkata, tiga pengadil wanita serta tiga pembantu pengadil wanita akan ditugaskan sepanjang acara di Qatar itu yang bakal berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember 2022.

Mereka terdiri daripada warga Perancis Stephanie Frappart, Salima Mukansanga dari Rwanda, serta Yoshimi Yamashita dari Jepun.

Pembantu pengadil wanita pula terdiri daripada Nueza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina dari Mexico, serta Kathryn Nesbitt dari Amerika Syarikat.

Sejumlah 36 pengadil, 69 pembantu pengadil serta 24 pegawai video telah dipilih oleh FIFA untuk bertugas dalam acara ini.

“Ini mengakhiri proses pemilihan panjang yang bermula bertahun lalu dengan penugasan pengadil wanita ketika perlawanan lelaki junior dan senior FIFA.

“Mereka layak menyertai Piala Dunia FIFA ini atas dasar pencapaian mereka sebelum ini dan ia merupakan faktor penting bagi kami,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.

Tahun lepas, Frappart menjadi pengadil wanita pertama mengadili perlawanan di Eropah selepas dilantik UEFA.

Leave a Reply