Penyanyi bernada tinggi, Ziana Zain harap peminat faham

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ziana Zain, mengharapkan peminat memahami hakikat bahawa penyanyi juga manusia biasa yang melalui situasi pertambahan usia yang mungkin akan memberi kesan kepada nyanyian mereka.

Kata Ziana, dia percaya semua penyanyi akan memberikan sehabis baik dalam setiap persembahan, namun dalam masa yang sama harus menerima lumrah keadaan apabila menginjak ke usia tertentu.

“Yang ini kita perlu didik peminat juga. Manusia ada peringkat umur, kita akan menyanyi mengikut kemampuan kita pada peringkat umur tersebut.

“Dalam peringkat usia saya, saya akan menyanyi dengan seadanya, menggunakan tenaga yang saya ada.

“Tidak boleh dibandingkan penyanyi ketika mereka berada di usia 20an atau 30an, dengan 50an, situasinya pasti berbeza.

“Sekarang apabila menyanyi, saya hanya fokus kepada inilah saya, peminat perlu terima, saya menyanyi dengan kemampuan serta key yang saya selesa.

“Saya harap peminat boleh memahaminya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Sebagai penghibur berpengalaman, Ziana berkata dia akan sentiasa memastikan kepuasan peminat, namun dalam keselesaan dan kemampuan yang dimiliki.

Lebih 30 tahun memahat nama dalam industri seni, Ziana yang memiliki puluhan lagu hits mengakui sukar mencari material baharu kerana sikapnya yang cerewet dan mahukan kesempurnaan setiap kali muncul dengan karya terkini.

“Memang sudah ramai yang tanya bila mahu keluar single baharu, tetapi saya belum jumpa yang betul-betul memuaskan hati dan kehendak saya.

“Mungkin juga salah satu sebab kerana saya sudah mempunyai banyak lagu hit, jadi apabila mahu cari material baharu, sebolehnya saya mahu ia menjadi hit juga.

“Saya tidak mahu terburu-buru, lagipun mana saya pergi, peminat masih minta lagu-lagu lama,” katanya ketika ditemui dalam sidang media konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur, pada Khamis.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd ini akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 6 Ogos depan.

©Astro Awani

Leave a Reply