Individu pertama didakwa bawah akta pemberi maklumat dilepas dan dibebaskan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan individu pertama yang didakwa mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Hakim Suzana Hussain memerintahkan bekas timbalan ketua pegawai eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Wafiy Abd Aziz, 37, dibebaskan tanpa memanggil pembelaannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
“Selepas mendengar (keterangan) saksi daripada pihak pembelaan, pendakwaan dan pihak berkuasa berkaitan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Tertuduh diperintahkan dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan RM15,000 dikembalikan kepada tertuduh.
Wafiy didakwa pada September 2020 atas tuduhan menyebabkan pemecatan seorang pemberi maklumat yang mendedahkan dakwaan salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dia didakwa berbuat demikian dengan menghasut pengerusi EMGS ketika itu, Abdul Rahman Shariff untuk menandatangani dokumen “pemberhentian kerja” terhadap pemberi maklumat itu sebagai tindakan balas kerana mendedahkan dakwaan salah lakunya pada Januari 2020.
Seramai 17 saksi dipanggil, termasuk Abdul Rahman dan ketua pegawai eksekutif EMGS ketika itu, Shahibuddin Shariff. EMGS adalah syarikat milik Kementerian Pengajian Tinggi.
Baljit Singh, yang mewakili Wafiy berkata, keputusan itu membuktikan anak guamnya tidak menghasut Abdul Rahman untuk memecat pemberi maklumat itu seperti didakwa.
“Daripada pendengaran kes, jelas bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM cacat. Anak guam saya tidak pernah melakukan kesalahan itu dan mahkamah melihat dengan jelas perkara ini berdasarkan keterangan.
“Proses pemberian maklumat bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat itu sendiri tidak teratur, jadi mungkin mereka (SPRM) akan memperbaikinya,” katanya.