Import 12,000 ekor lembu dari Thailand untuk ibadat korban

Hebahkan !!!

SERDANG – Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan daging sempena ibadah korban tahun ini, kerajaan bersetuju mengimport lebih 12,000 lembu dari Thailand.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, mesyuarat Mac lalu memutuskan kerajaan membenarkan kemasukan lembu import dari Thailand bagi sembelihan korban dan juga tujuan lain.

Katanya, bagaimanapun, pihaknya mengenakan syarat ketat iaitu kerajaan Thailand perlu memastikan lembu yang dibawa masuk bebas daripada sebarang penyakit kulit kental (LSD) serta penyakit kuku dan mulut (FMD).

“Malah, lembu yang diimport juga perlu dikuarantin selama 28 hari sebelum proses sembelihan dijalankan.

“Sebenarnya pada tahun lalu, kerajaan sudah menghentikan import lembu dari Thailand disebabkan penyakit berkenaan tetapi kini dibenarkan dengan syarat ketat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

“Sebenarnya pada tahun lalu, kerajaan sudah menghentikan import lembu dari Thailand disebabkan penyakit berkenaan tetapi kini dibenarkan dengan syarat ketat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan umat Islam yang ingin menunaikan ibadah korban ternakan sempena Aidiladha tahun ini dijangka berdepan kenaikan harga antara 35 hingga 40 peratus berikutan kos operasi yang tinggi ditanggung penternak.

Sementara itu, ditanya mengenai krisis makanan yang melanda dunia, Ahmad berkata, MAFI menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan terus melaksanakan tindakan pemantauan dan mengenalpasti masalah berkaitan bagi mengatasi krisis makanan di negara ini.

“Negara sedang menghadapi beberapa isu mendesak membabitkan bekalan makanan, justeru menerusi DAN 2.0 ini kerajaan akan memastikan kejayaan dan kestabilan makanan dapat diatasi dalam menghadapi fenomena baharu ini,” katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Lebah Sedunia yang disambut setiap 20 Mei setiap tahun, beliau berkata, lebah adalah salah satu agen pendebungaan yang menyambung rantaian ekosistem alam.

“Dianggarkan industri lebah berpotensi memberi pulangan ekonomi sebanyak RM2.3 bilion setahun pada masa depan iaitu 99 peratus dari nilai berkenaan disumbangkan oleh aktiviti pendebungaan lebah dalam sektor pertanian.

“Selain itu, madu lebah sebenarnya hanya menyumbang RM19.27 juta (satu peratus) sahaja daripada keseluruhan nilai ekonomi yang mampu dijana oleh industri ini,” katanya.

©Harian Metro

Leave a Reply