Gajah jantan Kampung Gol berjaya ditangkap untuk dipindahkan

Hebahkan !!!

JERANTUT – Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang berjaya memindahkan seekor gajah jantan dewasa di Kampung Gol, di sini semalam.

Haiwan dianggarkan berusia 20 hingga 30 tahun itu sebelum ini ditemui berkeliaran dalam kampung terbabit hingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi menangkap gajah dewasa itu yang mempunyai ukuran 15 inci tapak kaki hadapan dilakukan kelmarin selepas menerima aduan penduduk yang melihat haiwan terbabit.

Menurutnya, operasi memindahkan gajah liar terbabit mengambil masa kira-kira enam jam bermula 8.30 pagi.

“Dua gajah denak Kasturi dan Cheri digunakan untuk menarik gajah jantan berkenaan sejauh 40 meter sebelum dipindahkan ke atas lori.

“Operasi memindahkan haiwan terbabit berjalan lancar yang disertai 26 kakitangan PKGK Kuala Gandah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Taman Negara Pahang dan Bahagian Konservasi Ex-Situ.

“Kejayaan menangkap dan memindahkan gajah liar berkenaan diharap dapat menyelesaikan konflik antara haiwan liar terbabit dengan masyarakat setempat hingga meresahkan penduduk.

“Kita memasang mikrocip dan membuat pengukuran morfologi pada gajah jantan bagi tujuan penandaan dan rekod,” katanya, di sini semalam.

Beliau menambah, pihaknya memindahkan haiwan berkenaan ke habitat asal di Taman Negeri Terengganu.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, dalam tempoh lima bulan tahun ini PKGK Kuala Gandah sudah memindahkan 16 gajah liar di negeri ini, Johor, Kelantan, Perak, Terengganu dan Kedah.

“Gajah jantan di Kampung Gol ini adalah yang ketiga ditangkap oleh PKGK Kuala Gandah di negeri ini selepas dua gajah liar ditangkap di FELDA Kota Gelanggi Tiga, Jerantut, April lalu,” katanya.

©Harian Metro

Leave a Reply