Brad Maloney tetap bangga dengan persembahan pemain Malaysia

Hebahkan !!!

“Menyakitkan tetapi saya bangga dengan persembahan pemain saya.”

Demikan rumusan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney selepas misi skuad Harimau Muda untuk merebut ibu segala pingat pada Sukan SEA disekat juara bertahan yang juga tuan rumah, Vietnam di Hanoi malam tadi.

Jaringan tunggal pemain berusia 24 tahun, Nguyen Tien Linh pada minit ke-111 sudah cukup untuk menghantar skuad bimbingan Park Hang Seo itu mara ke final bertemu pemenang 16 pingat Sukan SEA, Thailand.

“Sudah tentu sukar untuk menerima (keputusan) apabila kita dibolosi jaringan lewat permainan. Tetapi kita perlu faham bahawa Vietnam adalah pasukan yang terbaik dalam pertandingan ini.

“Pemain sudah bermain dengan sepenuh jiwa dan berikan apa yang mereka ada. Pemain beraksi tanpa rasa penat untuk 120 minit menentang pasukan yang sangat baik seperti Vietnam yang mempunyai fizikal dan ada kalanya beraksi dengan keras.

“Tetapi pemain tidak pernah mengalah dan tetap berjuang. Jadi saya sangat berbangga dengan mereka,” kata Maloney.

Sebagai rekod, skuad negara tidak menggunakan khidmat tiga pemain lebih usia pada temasya kali ini memandangkan Sukan SEA menjadi medan persiapan sebelum mereka berentap ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan depan.

Dalam masa sama, Maloney turut mengakui ketiadaan tonggak pertahanannya, Harith Haiqal Adam Afkar yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sedikit merencatkan perancangan memandangkan mereka kehilangan pemimpin di barisan pertahanan.

“Harith adalah pemimpin dan dia menguruskan barisan pertahanannya dengan baik. Permainan yang keras menyebabkan ada beberapa pemain kita mengalami kecederaan termasuklah penjaga gol yang meneruskan perlawanan dalam kesakitan.

“Ia bukanlah satu situasi yang ideal tetapi saya rasa pemain yang menggantikan mereka turut beraksi dengan baik,” katanya.

Leave a Reply