Korea Utara nasihat rakyat berkumur air garam dan minum teh herba

Hebahkan !!!

Tanpa kempen vaksinasi kebangsaan dan rawatan untuk mencegah COVID-19, media Korea Utara menggalakkan pesakit untuk mengambil ubat tahan sakit dan antibiotik, selain amalan tradisional yang belum terbukti keberkesanan, seperti berkumur dengan air garam dan meminum teh herba.

Pada masa sama, negara itu terus giat meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan dan bekalan kesihatan lain termasuk steriliser dan termometer dalam usaha memerangi penularan COVID-19, lapor media kerajaan KCNA pada Khamis.

Korea Utara, yang kini menguatkuasakan sekatan pergerakan di seluruh negara, juga meningkatkan penghasilan ubat-ubatan tradisional yang dipercayai berkesan untuk mengurangkan kesan demam dan sakit.

Reuters melaporkan, dalam gelombang koronavirus yang mengejut, sejak disahkan pada minggu lalu, wabak itu telah merebak berikutan kekurangan sumber perubatan dan vaksin.

Agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa banyak kemungkinan buruk boleh terjadi ke atas 25 juta rakyat negara itu.

Sekurang-kurangnya 262,270 orang dilaporkan mengalami simptom demam, dengan seorang lagi disahkan meninggal dunia pada petang Rabu, berdasarkan data ibu pejabat pencegahan epidemik kecemasan negara.

Data itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus berapa orang sebenarnya telah diuji positif COVID-19.

Setakat ini yang dilaporkan hanyalah angka 1,978,230 orang dengan simptom demam dan 63 kematian.

Kilang-kilang kini secara pantas menghasilkan lebih banyak picagari, ubat, termometer dan bekalan medikal lain di Pyongyang dan wilayah sekitarnya.

Pada masa sama, lebih banyak wad pengasingan disediakan dan kerja disinfeksi dijalankan.

“Ribuan tan garam juga dibawa masuk ke Pyongyang untuk penghasilan larutan antiseptik,” lapor KCNA.

Laporan berkenaan hadir selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un tidak berpuas hati dengan pengagihan ubat-ubatan yang tidak cekap serta menyelar pegawai-pegawainya atas tindak balas yang ‘tidak matang’ terhadap epidemik.

Leave a Reply