‘Dipecat’ selepas 15 tahun jadi guru Kafa, Khairul sekeluarga bayar harga tinggi tolak vaksin

Hebahkan !!!

KLANG: Pasangan suami isteri guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang ditamatkan kontrak perkhidmatan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini kerana menolak vaksin Covid-19, terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara tiga anak mereka.

Selain menjadi penghantar makanan e-panggilan, Khairul Redzwan Ismail, 33, juga mengambil upah kerja sambilan mengecat rumah dan kerja kampung untuk menampung kehidupan sekeluarga.

Khairul berpengalaman sebagai guru Kafa selama 15 tahun, manakala isterinya Noor Ainon Sa’abani, 18 tahun. Pasangan itu sekian lama bertugas di sebuah sekolah di daerah Klang.

Mereka menerima kejutan pada 10 Mei lalu, apabila Jais memaklumkan kontrak mereka yang sepatutnya berakhir 2024, ditamatkan bulan ini kerana ingkar arahan menerima vaksin Covid-19.

Sejumlah 44 guru Kafa lain di Selangor turut menerima nasib sama dan bercadang menyaman Jais atas penamatan perkhidmatan mereka yang dianggap tidak adil.

Khairul dan Ainon sugul memikirkan masa depan yang tidak menentu. Pendapatan purata Khairul kira-kira RM60 sehari sebagai penghantar makanan, jauh daripada memadai untuk menyara tiga anaknya.

“Kita sebagai ketua keluarga, kita perlu menyara keluarga, saya terpaksa membuat kerja luar untuk menampung perbelanjaan keluarga,” kata Khairul.

“Saya ambil upah mengecat rumah orang, kadangkala saya tolong kawan saya buat pendawaian (elektrik). Saya terpaksa berniaga dalam talian, jadi ‘dropship’ (jual) jam dan makanan seperti coklat,” tambahnya.

Khairul tidak mahu berkongsi sebab beliau menolak vaksin, namun menegaskan soal mengambil atau tidak suntikan vaksin adalah pilihan peribadi dan tidak diwajibkan di bawah perundangan negara.

Ainon berkata, beliau dan suami belum menerima elaun Kafa untuk Mac dan April, sungguhpun mereka diwajibkan hadir di sekolah, walaupun digantung kerja untuk tempoh itu.

Pasangan itu sukar menerima tindakan Jais itu kerana tidak mempunyai sebarang isu dalam melaksanakan tugasan sebelum ini.

“Selama 18 tahun berkhidmat, jujur saya cakap, saya tak ada lagi masalah disiplin sehinggalah saya menolak arahan dari jabatan yang meminta untuk mengambil vaksin.

“Tiba-tiba hanya kerana satu perkara yang saya tak ikut, mereka terus ambil tindakan macam ini. Kita kesallah,” kata Ainon.

Penahanan elaun guru Kafa oleh Jais sejak Mac lalu bermakna pasangan itu bersama guru lain yang senasib mereka terpaksa menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan amat tertekan.

“Saya melihat kalendar sebenarnya, ini adalah bulan puasa dan hampir hari raya, saya agak perit sebenarnya nak sediakan persiapan dan saya terpaksa buat kerja lebih untuk menampung perbelanjaan tersebut.

“Saya lebih (memikirkan) kepada anak-anaklah supaya mereka gembira dan tak rasai apa yang saya rasa,” kata Khairul.

Walaupun hidup dalam keadaan mendesak, Khairul dan isterinya tawar hati untuk kembali menjadi guru Kafa di Selangor, sekali pun diberikan peluang.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin mengumumkan guru yang tidak divaksin dibenarkan mengajar semula secara bersemuka, selepas dilarang berbuat demikian sejak Oktober lepas.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak melibatkan guru Kafa di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam di negeri masing-masing.

“Sebenarnya, apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan guru yang tidak divaksin boleh (mengajar) bersemuka, bersekolah seperti biasa, saya memang rasa sangat gembira. Tapi saya menerima surat pemberhentian pada 10 Mei, saya rasa agak kecewa,” kata Khairul.

FMT sebelum ini melaporkan sekumpulan guru Kafa menimbang untuk menyaman Jais kerana menamatkan kontrak perkhidmatan mereka berkuat kuasa bulan ini, walaupun ia sepatutnya berakhir Januari 2024.

Jurucakap kumpulan itu menegaskan, tindakan Jais tidak adil kerana soal penerimaan vaksin adalah pilihan peribadi dan tidak diwajibkan di bawah mana-mana perundangan atau dijadikan syarat perkhidmatan guru Kafa.

Leave a Reply