Pemandu treler sebabkan kematian lima pelajar mengaku tidak bersalah

Hebahkan !!!

KUALA KANGSAR – Pemandu treler yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan hingga menyebabkan kematian lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Khamis lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, yang menghadapi lima pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Dia dituduh memandu treler jenis Volvo di jalan raya dengan cara yang setelah mengambil perhatian segala hal keadaan, adalah berbahaya sehingga menyebabkan kematian lima individu iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Kesalahan itu dilakukan di KM245.2, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, kira-kira 1 pagi, 12 Mei 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 dan sabitan diendorskan pada lesen memandu, jika sabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam G Ravishankar.

Terdahulu, Nur Asmaniza memohon jumlah jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kes itu berkepentingan awam serta mendapat liputan meluas media, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung sementara.

Bagaimanapun, Ravishankar merayu jaminan rendah atas faktor anak guamnya hilang pendapatan apabila lesen digantung selain isterinya yang hanya berniaga kecil-kecilan dan mereka perlu menanggung tiga anak berusia dua hingga 14 tahun.

Sebelum itu, beliau membantah pendakwaan yang mengemukakan lima pertuduhan berbeza, sebaliknya memohon agar pertuduhan itu dikemukakan bersekali kerana kesalahan, tarikh, masa dan tempat adalah sama dengan semua mangsa berada dalam satu kenderaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang ditemani isteri membayar jaminan itu.

©Harian Metro

Leave a Reply