Pasar raya dan kedai runcit ada alami 30 peratus kekurangan tepung gandum

Hebahkan !!!

PASIR GUDANG – Beberapa pasar raya dan kedai runcit di bandar raya ini mengalami kekurangan antara 20 hingga 30 peratus bekalan tepung gandum bersubsidi.

Pengusaha kedai runcit mendakwa kehabisan stok bekalan itu sejak minggu lalu, manakala sesetengah pasar raya pula didapati hanya memiliki bekalan terhad.

Pengusaha kedai runcit, Hussein Abdullah, 40, berkata setakat ini kedainya hanya mempunyai bekalan tepung gandum tidak bersubsidi dengan harga RM3.05 satu paket, manakala jenama tepung gandum bersubsidi semakin sukar diperoleh.

“Tepung gandum bersubsidi jenama GPS berharga RM1.85, selain Blue Key, Lili dan Feri berharga RM1.35 kebanyakannya sudah terputus bekalan sejak awal bulan ini.

“Pembekal memberitahu akan hantar bekalan minggu ini, namun sehingga kini masih belum tiba,” katanya ketika ditemui.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam, berkata pihaknya juga mengalami kekurangan antara 20 hingga 30 peratus bekalan tepung gandum bersubdisi di semua 87 cawangan di seluruh negara.

Katanya, kekurangan itu berikutan pembekal tidak dapat menghantar bekalan disebabkan cuti panjang sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

“Malah, pembekal juga memberikan alasan berdepan masalah tiada bekalan tepung gandum sejak awal Mei lalu.

“Negara hanya bergantung terhadap peratusan kecil import gandum dari India, sekali gus tidak memberi kesan signifikan kepada bekalan.

“Kita (negara) bergantung 85 peratus gandum dari Australia, manakala 15 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India. Oleh itu larangan dari India sepatutnya tidak memberi kesan,” katanya ketika ditemui di Pasar Raya Econsave Taman Scientex.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat bekalan tepung gandum tidak bersubsidi jenama Faiza di pasar raya itu.

“Walaupun tiada bekalan tepung gandum bersubsidi, kami tidak menaikkan harga tepung gandum tidak bersubsidi sedia ada dan pada masa sama menasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik.

“Kita juga mencadangkan langkah mengehadkan penjualan tepung gandum sekilogram kepada pembeli kerana kekurangan bekalan bagi memastikan keperluan asas itu dapat diperoleh lebih ramai pembeli, namun perlu mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlebih dulu,” katanya.

Terdahulu, KPDNHEP memaklumkan bekalan tepung gandum negara dijangka tidak terjejas di sebalik larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik.

Penggunaan tepung gandum bersubsidi adalah sebanyak 100,000 tan metrik di negara ini setahun dan 192,959 tan metrik pula tidak bersubsidi.

Peniaga yang bertindak mencatu atau menyembunyikan bekalan tepung di pasaran akan berdepan tindakan tegas, termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 yang boleh membawa kepada hukuman denda dan kompaun.

©Berita Harian 

Leave a Reply