Maybank perkenal pengeluaran ATM tanpa sentuh

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Maybank menambah satu lagi perkhidmatan perintis dalam penawaran perbankan digital menerusi pengenalan pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh, perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia.

Perkhidmatan terbaharu itu kini boleh digunakan melalui aplikasi MAE di ATM terpilih di seluruh negara.

Ia disasarkan untuk mempertingkatkan kemudahan kepada lebih 12 juta pemegang kad ATM, selaras dengan gaya hidup dalam norma baharu dan menikmati akses yang lebih berdaya digital berbanding perkhidmatan perbankan tradisional.

Pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan ini di kira-kira 1,000 ATM, yang akan tertera petanda ketersediaan perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh di mesin.

Perkhidmatan akhirnya akan disediakan di semua ATM milik Maybank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata Maybank menerajui perbankan digital selama bertahun-tahun, membawa pelbagai penyelesaian inovatif kepada pasaran untuk kemudahan pelanggan.

“Ini pada mulanya didorong oleh Pelan Maybank2020 yang merangkumi aspirasi kumpulan untuk menjadi bank digital pilihan di rantau ini. Kami kini telah maju ke fasa pembangunan digital seterusnya yang berpandukan Pelan M25, lima tahun terbaharu dan disandarkan pada misi untuk ‘Menginsankan Perkhidmatan Kewangan’.

“Di bawah pelan ini, kami mempunyai keutamaan strategik yang dedikasi, digital secara meluas, bagi memastikan teknologi terus dimanfaatkan dalam membawa penyelesaian digital yang bermakna kepada pemegang berkepentingan daripada semua segmen perniagaan dan komuniti di seluruh rantau ini.

“Perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh baharu adalah satu lagi langkah dalam penawaran holistik perkhidmatan perbankan digital yang mana kami adalah perintis selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairussaleh berkata, perkhidmatan terbaharu itu juga muncul berikutan banyak perkhidmatan terkemuka yang perkenalkan Maybank baru-baru ini sebagai sebahagian daripada tawaran perbankan digital.

“Kami yakin akan terus menawarkan lebih banyak lagi perkhidmatan digital pada bulan-bulan berikutnya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata tumpuan kumpulan dalam membina keupayaan digital telah membolehkannya untuk terus berada di hadapan dan terus berkhidmat kepada pelanggan dan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan, terutama semasa penularan pandemik.

“Perkhidmatan baharu ini mengesahkan kekuatan kami sebagai bank digital, di samping peranan sebagai bank tradisional.

“Kami telah dapat mereka bentuk aplikasi gaya hidup sendiri, memperkenalkan penyelesaian pembiayaan digital di Malaysia merentasi segmen runcit dan bukan runcit untuk produk seperti pinjaman perumahan, pembiayaan peribadi dan PKS, selain membenarkan proses KYC (kenali pelanggan anda) dijalankan secara digital di Singapura, Indonesia dan Filipina,” katanya.

Chong berkata, pengeluaran ATM tanpa sentuh bukan sahaja akan meningkatkan keselesaan kepada pelanggan malah memastikan mereka dapat menikmati rangkaian penyelesaian digital yang komprehensif melalui satu aplikasi iaitu MAE.

“Untuk membuat pengeluaran tunai, pengguna hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) pada skrin ATM Maybank terpilih menggunakan aplikasi MAE, masukkan jumlah, berikan PIN atau pengesahan biometrik dalam aplikasi dan terima wang tunai daripada ATM.

“Pengenalan perkhidmatan pengeluaran tanpa sentuh juga didorong oleh usaha bank untuk memastikan keselamatan pelanggan, memandangkan pelanggan tidak perlu menyentuh sebarang permukaan luaran secara fizikal, kecuali semasa menerima wang tunai yang dikeluarkan daripada ATM,” katanya.

Mana-mana pemegang kad ATM Maybank boleh memuat turun aplikasi MAE dan mendaftar untuk perkhidmatan baharu ini.

Had pengeluaran tunai yang boleh ditetapkan oleh pelanggan melalui aplikasi MAE adalah had bersama dengan had kad ATM fizikal.

Panduan langkah demi langkah mengenai perkhidmatan pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh Maybank boleh dilihat pada pautan https://youtu.be/lymZomz2duo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply