Kedah sudah siapkan kertas cadangan eksport Ketum

Hebahkan !!!

ALOR SETAR – Kertas cadangan kerajaan negeri untuk mengeksport ketum ke luar negara sudah disiapkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dan dijangka dibentangkan dalam mesyuarat EXCO negeri minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akan meneliti kertas cadangan itu sebelum ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan selepas ini.

“Kita hendak mohon Kerajaan Persekutuan pertimbangkan kebenaran eksport (ketum) dengan dalil kita dalam kertas cadangan itu. Kalau kerajaan kata tak boleh (dan) ‘no way’ (atau) tak ada jalan juga, (maka) kita kena tunggu lagi la.

“Mungkin lepas ini ada perubahan berdasarkan perkembangan semasa bidang perubatan. Saya harap perkembangan itu tidak akan terbeku di situ,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata penemuan mengenai kebaikan ketum sudah dibuat kajian oleh Kedah Bioresources Corporation (KBioCorp) sejak beberapa tahun lalu, namun ia terhad kepada kajian semata-mata.

Katanya, sekiranya ketum dibenarkan untuk dieksport, maka akan wujud agensi yang akan mengumpul dan mengeksport bahan itu ke luar negara.

“Ketum ini umpama pisau dapur, tetapi pisau dapur apabila salah guna ia boleh bunuh orang…takkan nak salah pisau itu.

“Salahnya adalah salah guna pisau. Sama macam ketum juga jangan salah guna, hanya guna untuk sektor perubatan yang telah melalui kajian saintifik.

“Contohnya dulu orang guna untuk ubat cacing, cuma ambil daun dan gumpal kemudian letak di perut. Jadi yang tidak ada cacing takkan nak guna daun ketum ini,” jelas beliau.

Muhammad Sanusi bagaimanapun berkata, cadangan mengeksport ketum itu bukanlah bermakna beliau meminta rakyat Kedah untuk menanam ketum kerana aktiviti eksport itu nanti hanya membabitkan tanaman sedia ada.

“Saya bukan suruh tanam, sebaliknya saya minta Kerajaan (Persekutuan) benarkan eksport ketum yang sedia ada.

“Yang sedia ada itu pun banyak dan sedang diseludup, jadi kita selesaikanlah isu penyeludupan ini dengan benarkan eksport.

“Nasihat saya, tak perlulah tanam lagi dan saya pun bukan nak galakkan penanaman. Kita eksport apa yang ada hari ini pun cukup dah kalau dibenarkan,” katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, dakwaan berlaku penanaman ketum besar-besaran di kawasan tertentu seperti dibangkitkan media baru-baru ini, bukanlah perkara baharu.

“Ada akhbar lapor berlaku tanaman besar-besaran ketum di kawasan tertentu. Sebenarnya benda itu memang dah ada di situ dan bukannya baru ditanam.

“Undang-undang kita sekarang ini menetapkan bahawa menanam ketum bukan satu kesalahan, tetapi saya nasihatkan tak payahlah tanam lagi. Tanaman ini rasanya banyak sangat dah dengan anggaran jumlah pokok ketum juga ada dalam maklumat Jabatan Pertanian serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

©Berita Harian

Leave a Reply