Awal Ashaari nafi lakukan perbuatan khianat

Hebahkan !!!

Pengacara Awal Ashaari menafikan dirinya melakukan khianat iaitu melanggar palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara dengan sebarang kenderaan sehingga rosak.

Suami Scha Al Yahya itu sebaliknya memberitahu dia hanya menolak ke tepi palang pagar tersebut menggunakan tangan untuk masuk ke kediamannya sendiri.

“Saya nak betulkan salah faham kalau ada yang kata saya buat khianat langgar palang pagar rumah dengan kereta dan sebagainya.

“Saya bukan Iron Man, bukan Incredible Hulk.

“Saya hanya guna tangan, ketepikan palang pagar untuk masuk ke kediaman sendiri,” jelas Awal.

Awal muncul dalam siaran langsung di Insta Story di Instagram rasminya, sekitar pukul 8 malam tadi untuk menjelaskan salah faham dan memberi pencerahan mengenai laporan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara pada 16 April lalu.

Menerusi siaran langsung yang disaksikan sekitar 10,000 warganet itu, Awal turut menjelaskan dirinya sudah menetap di kediaman tersebut selama 15 tahun sebelum berpindah keluar.

“Jadi secara teknikalnya, saya mahu masuk ke rumah sendiri. Walaupun saya sudah berpindah, tetapi kediaman itu masih milik saya dan tidak dijual mahupun disewakan.

“Saya datang untuk mengambil barang di kediaman saya namun tidak dibenarkan. Jadi saya tolak palang pagar untuk ke rumah saya dengan tangan selepas dihalang untuk masuk,” katanya lagi.

Selebriti berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku dirinya dihalang untuk masuk ke kediaman kerana mempunyai tunggakan bil pengurusan.
“Saya tak nafikan saya mempunyai tunggakan bil pengurusan rumah. Biasalah, saya sudah 15 tahun duduk di sana, ada masa saya terlupa bayar kerana terlalu sibuk.
“Ada kalanya saya membayar secara advance. Dan memang beberapa bulan terakhir ini saya terlupa membayar bil pengurusan.

“Tapi itu tidak bermakna saya tidak mahu bayar. Sekarang pun saya sudah membayar tunggakan dan membayar secara advance bil tersebut,” akuinya lagi.

Awal berharap dengan penjelasan yang dilakukan ia sedikit sebanyak mampu membetulkan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai insiden yang membabitkan dirinya sehingga menjadi viral hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Awal melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, di sini dengan nilai kerugian dianggarkan RM600 pada jam 11.30 pagi, 16 April lalu.

Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun atau tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

©Astro Awani

Leave a Reply