Tajuddin bakal ke Jakarta sebagai duta Malaysia

Hebahkan !!!

Ahli politik lantang Tajuddin Abdul Rahman bakal berangkat ke Jakarta akhir bulan ini untuk memulakan tugas sebagai duta Malaysia ke Indonesia, mengesahkan spekulasi sejak beberapa bulan lalu mengenai pelantikannya.

MalaysiaNow difahamkan daripada sumber diplomatik pelantikan ahli Parlimen Pasir Salak itu bagi mewakili negara sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan Indonesia.

MalaysiaNow juga turut menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan ulasan.

Tajuddin akan mengisi kekosongan jawatan diplomatik penting mewakili Malaysia menggantikan Zahrain Mohd Hashim yang sebelum ini dilantik pentadbiran Najib Razak.

Zahrain yang merupakan bekas ahli PKR dari Pulau Pinang digugurkan daripada jawatan itu pada 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan dan sebagai sebahagian daripada dasar tiada lantikan politik untuk jawatan diplomatik.

Khabar angin pelantikan Tajuddin telah mencetuskan bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang sejak ia dilaporkan media Indonesia.

Bantahan tersebut turut semakin hebat ketika ahli politik itu menjadi sebahagian daripada delegasi rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu Presiden Joko Widodo pada November lalu.

Pada Mei tahun lalu, pentadbiran Muhyiddin Yassin yang merupakan perdana menteri ketika itu memecat Tajuddin sebagai pengerusi syarikat pengangkutan awam Prasarana berikutan ulasan tidak sensitifnya mengenai kemalangan melibatkan tren LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan puluhan penumpang cedera.

Graduan ekonomi berusia 74 tahun itu pernah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Karier politiknya terus meningkat selepas memenangi kerusi Parlimen Pasir Salak pada 2008.

Beliau juga antara ahli Parlimen Umno yang lantang di Dewan Rakyat, namun bercanggah dengan kumpulan Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi apabila kedua-dua pemimpin itu memulakan kempen menumbangkan Muhyiddin.

MalaysiaNow telah menghubungi Tajuddin namun masih tidak mendapatkan sebarang respons.

Leave a Reply