Harga emas turun jadi tarikan pelanggan ke kedai

Hebahkan !!!

Rawang: Penurunan harga emas dalam tempoh kebelakangan ini antara faktor orang ramai berpusu-pusu membeli barang kemas.

amir_hamid@mediaprima.com.my

Pada 6 Mei lalu, harga emas 916 menurun dari RM263 per gram kepada kira-kira RM259 per gram, 10 Mei lalu.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai emas mendapati kakitangan mereka tidak menang tangan melayani pelanggan.

Pengarah Urusan Kedai Emas Ammar Jewels Rawang, Mohamed Khairul Fikrie Mohamed Noor, 36, berkata, harga emas dijangka turun lagi dalam lima hingga lapan peratus.

“Dalam beberapa tempoh kebelakangan ini, harga emas dalam graf pasaran menurun.

“Apabila harga emas turun, itu adalah antara bonus untuk pelanggan membeli emas dan pelanggan datang berpusu-pusu membeli barangan emas pilihan mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, terdapat penambahan antara 50 hingga 70 peratus pelanggan yang datang ke kedai membeli barang kemas namun peratusan pesanan menerusi dalam talian kini semakin menurun.

Menurutnya, untuk tempoh seminggu selepas Aidilfitri, permintaan daripada pelanggan terlampau tinggi hinggakan proses pengeluaran daripada tukang emas atau kilang membuat barangan kemas agak terhad.

Beliau berkata, majoriti kedai emas serta kilang pertukangan emas cuti selama seminggu ketika Aidilfitri baru-baru ini.

“Kali ini pengusaha juga lama cuti sebab sudah dua tahun tidak beraya di kampung masing-masing akibat pandemik Covid-19.

“Jadi selepas cuti raya, tiba-tiba harga emas menurun pula menyebabkan pelanggan datang serbu di kedai-kedai emas untuk membeli barang kemas,” katanya.

Selain itu, katanya, pasaran emas memberangsangkan mungkin disebabkan nilai matawang ringgit sudah semakin jatuh, jadi orang ramai sudah mula sedar berkenaan pentingnya membeli emas atau menyimpan emas untuk persediaan kalis inflasi.

Malah, katanya, awal pandemik Covid-19 pada 2020 ketika negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat, jualan emas memberangsangkan.

“Ramai tak dapat keluar rumah sedangkan gaji jalan seperti biasa ketika awal PKP dilaksanakan.

“Jadi ramai simpan duit gaji untuk ditukarkan kepada emas khususnya barang kemas.

“Ketika itu jual beli secara dalam talian sangat rancak. Malah saya biasa membawa dua guni item pembelian melalui ‘online’ untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), senario pembelian emas ketika ini untuk tempoh selepas Aidilfitri didapati terus meriah apabila orang ramai datang membeli di kedai.

Mohamed Khairul Fikrie berkata, ketika ini kerancakan pembelian berterusan kerana ibu bapa menggunakan duit raya untuk membeli barang kemas untuk anak.

Selain itu, katanya, faktor pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini yang bakinya masih ada untuk mereka menukarkan dalam bentuk emas juga mencergaskan urusniaga.

Sementara itu, Pengurus Kedai Emas Faidh Jewels, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Nadzirah Sehak, 34, berkata, disebabkan tahun ini dibenarkan beraya seperti biasa termasuk ziarah, rumah terbuka dan rentas negeri, maka pelanggan ingin melaram bergaya dengan barang kemas yang baru.

“Tidak dinafikan juga pelanggan ingin melabur sebahagian daripada wang pengeluaran khas KWSP dengan tukaran emas untuk dijadikan aset mereka.

“Untuk kedai kami, promosi raikan raya diadakan di mana kami menawarkan harga ‘trade in’ (tukar barang kemas lama dengan baru) yang tinggi.

“Kami ingin pelanggan kami dapat bergaya dengan barang kemas yang baharu dan mengikut gaya semasa,” katanya.

Pelanggan kedai emas, Nurul A’fiqah Latif, 31, berkata, dia mencari gelang emas untuk anak sulungnya, Noura Althafunnisa’ Muhammad Naim yang berusia lima tahun.

Katanya, dia memilih untuk berbuat demikian selepas Aidilfitri kerana tidak sanggup beratur panjang pada akhir Ramadan lalu di hampir semua kedai emas.

“Jika penuh sangat orang, saya rasa tidak boleh membuat keputusan memilih barang kemas yang disukai kerana tidak dapat nak fokus.

“Saya nak beli yang cantik dan sesuai untuk anak. Beli emas kena bertenang. Jika terlalu ramai juga boleh jadi anak buat karenah atau meragam, lagilah pening,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

Operator kilang, Rodiah Ahmad, 47, pula berkata, selain untuk pakai, dia membeli emas sebagai pelaburan dan simpanan sebab ia mudah dicairkan.

“Barang kemas biasanya saya beli, simpan dan jual atau tukar mengikut situasi diperlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply