Raja Azura belum terfikir untuk kahwin lagi, bahagia dengan anak-anak

Hebahkan !!!

Pelakon dan pengacara popular Raja Azura tidak pernah berasa malu dengan status janda malah menegaskan dirinya sentiasa berpegang pada prinsip dan disiplin hidup sendiri.

Ujarnya, disiplin itu menjadi asas dalam hidupnya dalam menjaga nama baik dan maruah keluarga termasuk bekas bapa mentuanya.

“Saya tak ada masalah dengan status janda. Pada hakikatnya memang betul pun kita janda. Bagi saya, yang penting kena jaga tertib. Kita tahu kita ini ibu tunggal, jadi kena tahu tertib sebagai seorang janda.

“Yang penting kita jaga adab sebab saya ada anak yang bersekolah dan perlu menjaga anak kedua ibu bapa saya. Walaupun saya dah berpisah bekas suami tapi masih ada bapa mentua.

“Dia tetap bapa mentua saya sampai mati dan perlu jaga nama. Bila kita jaga semua ini, kita dah tak kisah orang panggil janda. Saya tak pernah rasa kecil hati sebab hakikatnya saya adalah janda yang tahu jaga tertib dan maruah keluarga,” katanya kepada Gempak.

Raja Azura atau lebih mesra dipanggil Kak Engku ditemui ketika majlis pratonton dan sidang media filem Tiga Janda Melawan Dunia di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Tambah Kak Engku lagi, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi kerana enggan berdepan dengan masalah keluarga seperti bergaduh dengan ipar-duai.

“Selalu orang tanya soalan itu (buka pintu hati). Pertama sekali saya nak tahu, sebenarnya dalam perkahwinan ini apa tujuannya? Apa misi sebenarnya? Nak teman hidup? Anak-anak macam mana?

“Adakah teman hidup boleh terima? Lepas itu nak kena kenal lagi ipar-duai lagi yang tak tahu mereka suka atau tidak dekat kita. Kalau kita kenal orang berduit, dah orang ingat kita ini nak harta adik-beradik dia pula.

“Jadi benda-benda macam ini saya tak suka. Sebab pengalaman yang berlaku pada hidup saya ini sudah cukup. Saya dah pernah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Syukur dapat besarkan mereka dari kecil.

“Saya bahagia dengan anak-anak… saya tak perlu ada pasangan hidup. Orang nak pasangan hidup sebab nak kebahagian. Tapi Alhamdulillah, saya masih okey dan rezeki masih ada anak-anak,” tegasnya.

Untuk rekod, Raja Azura pernah mendirikan rumah tangga bersama Adzmin Osman pada Mac 2001 namun mereka bercerai pada 28 September 2010.

Raja Azura dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, Megat Luqman Hakim dan Puteri Mia Maizura.

©Astro Awani

Leave a Reply