Bayi enam bulan maut dipercayai ditetak datuk saudara

Hebahkan !!!

KINABATANGAN – Seorang bayi berusia enam bulan maut dipercayai akibat ditetak oleh datuk saudaranya di Kampung Ubi Sungai Pauh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata ibu bayi itu, seorang warga asing berumur 35 tahun, cedera parah dalam insiden yang berlaku pada kira-kira 2 petang.

“Bayi perempuan berumur enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditetak di bahagian kepala.

“Ibunya pula cedera parah di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin berkata kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata polis berjaya mengesan suspek iaitu seorang warga Filipina berusia 60 tahun di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam insiden itu.

Katanya polis belum mengenal pasti motif kejadian dan suspek, yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan mangsa sebelum ini, direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

©Malaysia Gazette

Leave a Reply