Bangi akan jadi kawasan yang mencabar bagi DAP

Hebahkan !!!

KAJANG – Parlimen Bangi akan menjadi kawasan pengundian yang mencabar kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata ini disebabkan kawasan itu mempunyai jumlah pengundi yang tinggi, mencapai lebih 300,000 penduduk dengan hampir 100,000 daripada jumlah itu adalah pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun.

“Ramai anak muda tinggal di kawasan parlimen ini, disertakan demografi (Bangi) di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Jadi, kepada sesiapa sahaja calon yang bakal menggantikan Ahli Parlimen Bangi (Ong Kian Ming), ini satu faktor mencabar yang juga perlu dipertimbangkan parti dalam menghadapi PRU15,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Ong.

Loke berkata meskipun Ong mengumumkan tidak bertanding pada PRU15, Ong akan terus membantu parti dan akan memberi lebih masa untuk mencari calon yang bersesuaian dengan demografi Bangi.

“Kita akan terus mendapat pertolongan Ong untuk memastikan sesiapapun calon akan terus mendapat sokongan rakyat kerana (bagi kawasan parlimen Bangi yang tinggi jumlah pengundi) kita perlu masa (yang lebih) untuk calon bergerak dan mengenali kawasan ini, bukannya menunggu sehingga Parlimen dibubarkan.

“Ini merupakan satu daripada faktor Ong mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding lebih awal supaya kita ada masa lebih panjang dalam mengenal pasti calon yang sesuai untuk kawasan Bangi,” katanya.

Sebelum ini, Ong dilaporkan berkata keputusan beliau untuk tidak bertanding pada PRU15 bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tetapi telah dibincangkan sejak tahun lepas dan akan membuka lebih banyak ruang kepada pemimpin muda.

Leave a Reply