Polis terlibat pukul pesalah trafik ditukar serta-merta

Hebahkan !!!

GEORGETOWN – Enam anggota termasuk pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah ditukar serta-merta selepas mengasari pesalah trafik dalam kejadian di Bukit Mertajam di sini, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya juga kini sedang mengesan mangsa yang terbabit dalam insiden itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh pihaknya sendiri bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi itu.

“Insiden itu dirakam menerusi kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya sebelum ia dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘My Penang Hometown’.

“Polis sedang mengesan mangsa yang terbabit untuk tampil membuat laporan polis berkaitan insiden itu.

“Kita juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kertas inkuiri polis sudah dibuka dan pihaknya akan merujuk kepada Pendakwa Raya bagi arahan lanjut selepas siasatan terbabit selesai.

“Setakat ini, semua pegawai dan anggota trafik yang terbabit dipindahkan ke bahagian pentadbiran dan dilucutkan sementara daripada menjalankan tugas hakiki.

“Polis Pulau Pinang akan menjalankan siasatan yang telus dan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Difahamkan, pesalah trafik berkenaan ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan menerusi Ops Selamat 18 di kawasan Bukit Mertajam.

©Berita Harian 

Leave a Reply