PKR perlu urus perpecahan dalaman yang berlaku

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – PKR mungkin berdepan laluan sukar, terutama memberikan persaingan sengit kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika parti itu gagal menguruskan isu perpecahahan dalaman di peringkat akar umbi.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata dalam situasi semasa yang memperlihatkan sokongan terhadap PKR tidak sekuat dulu, isu perpecahan atau berpuak-puak dalam parti dijangka memberi impak besar.

“Isu ini boleh memberi impak besar terhadap kekuatan PKR sebagai antara parti yang berkaliber. Memang berpuak-puak dalam parti politik adalah lumrah kerana masing-masing mahu bersaing untuk menunjukkan kekuatan tersendiri, namun ia juga satu kelemahan yang ketara bagi parti politik.

“PKR sudah berada dalam keadaan yang ‘miskin’ sokongan. Jika isu puak tidak diurus dengan baik, ia akan memberi impak besar terhadap kekuatan PKR,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau mengulas dakwaan wujud dua kem dalam PKR, masing-masing menyokong Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli yang akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Katanya, dalam situasi genting ini, PKR harus mengatur langkah lebih baik dan memastikan pemulihan dari dalam dilakukan secara menyeluruh kerana ia perlu hadir dengan strategi berbeza untuk meyakinkan pengundi pada PRU-15 yang rata-rata telah beralih sokongan dan kepercayaan kepada BN-UMNO.

“Jika urusan dalaman ini gagal diurus dengan bijaksana, di antara kumpulan yang menyokong Rafizi dan kumpulan Saifuddin, maka PKR akan semakin lemah dan pengundi akan hilang kepercayaan kepada PKR untuk memimpin,” katanya.

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Izani Mohd Zain yang menyuarakan pandangan senada, berpendapat jika PKR gagal memperkukuh hubungan semua ahli dan bersatu dengan kepemimpinan baharu, ia dijangka bertambah lemah dan berdepan masalah pada PRU-15.

“Ini adalah tugas presiden dan timbalan presiden terutamanya untuk satukan ahli. Rafizi berkempen menggunakan sentimen ‘party first’ atau parti diutamakan, sebab itu dia menolak kerjasama. Kempen Rafizi mahu meletakkan PKR lebih dominan.

“Ini kerana kerjasama memerlukan banyak kompromi dan ia meletakkan PKR dalam keadaan yang lemah,” katanya menambah, selagi kempen calon-calon jawatan utama terbatas pada agenda dan hala tuju parti serta bukan bersifat serangan peribadi, pemilihan parti itu nanti dijangka tidak menimbulkan masalah.

“Sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan demokrasi tulen, inilah masa PKR buktikan mereka mampu tangani kebebasan dalam pemilihan. Adat bertanding, akan berlaku perpecahan dalaman, ini tak boleh dinafikan.

“Sebab itu UMNO menangguhkan pemilihan parti selepas PRU-15. Cuma kelebihan (PKR), mereka akan dapat menonjolkan pemimpin yang benar-benar dapat sokongan akar umbi utk diketengahkan dalam PRU-15,” katanya.

Pemilihan PKR akan diadakan secara berperingkat di negeri mulai 17 hingga 22 Mei. Proses pengundian dilakukan secara hibrid dengan undian dalam talian dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal dilakukan lebih awal pada 13 hingga 17 Mei.

©Berita Harian 

Leave a Reply