Ong Kian Ming umum tidak bertanding pada PRU15

Hebahkan !!!

Ahli Parlimen DAP selama dua penggal, Ong Kian Ming mengumumkan beliau akan berehat daripada politik untuk “merenung semula bagaimana untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang dikumpulkan dalam sembilan tahun lepas dengan sebaiknya”.

Ong, yang dipilih sebagai ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan ahli Parlimen Bangi mulai Mei 2018 berkata, beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun beliau berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon untuk Bangi pada PRU15 dan terus berkhidmat di kawasan Parlimennya serta parti sehingga Parlimen dibubarkan.

Ong, 46, yang gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Mac lalu berkata, walaupun keputusan pemilihan itu memainkan peranan dalam mengesahkan keputusannya untuk berehat daripada politik, ia bukanlah sebab utama.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ong berkata, beliau bukannya bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu.

“Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan.

“Untuk jangka masa terdekat selepas PRU15 saya merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca dan merenung semula bagaimana dan di mana saya dapat manfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang saya telah dikumpulkan dalam sembilan tahun yang lepas dengan sebaiknya,” katanya.

Ong yang pernah dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengucapkan terima kasih kepada pengundinya, rakan sekerja dan kawannya atas sokongan mereka selama ini.

Menyifatkan tempoh sembilan tahun menjadi ahli Parlimen sebagai “pengalaman yang mengubah kehidupannya”, beliau mengucapkan terima kasih kepada Tony Pua yang membawanya menyertai DAP dan mencadangkan beliau diberikan peluang menjadi wakil rakyat.

Beliau turut berterima kasih kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng atas keyakinannya terhadap beliau dan veteran parti, Lim Kit Siang yang memiliki etika kerja, dedikasi serta tenaga yang “jauh lebih kuat berbanding mereka yang separuh umurnya, termasuklah diri saya,” katanya.

©Free Malaysia Today

Leave a Reply