Najib tak balas SMS berhubung hal ehwal 1MDB, kata bekas pengerusi

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi 1MDB, Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak bahawa bekas perdana menteri itu tidak memberi maklum balas mengenai kebimbangannya berhubung hal ehwal syarikat itu.

Katanya, beliau menghantar SMS kepada Najib sejurus sebelum beliau meninggalkan 1MDB pada Oktober 2009.

“Saya memaklumkan beliau mengenai beberapa perkara yang diarahkan ahli Lembaga Pengarah kepada pihak pengurusan, bagaimanapun ia tidak dipatuhi.

“Tidak terlintas di fikiran saya untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa (lain) berkaitan salah laku kewangan pengurusan 1MDB kerana saya mengandaikan saya sudah berbuat demikian melalui SMS yang dihantar kepada Datuk Seri Najib.

“Oleh kerana kebimbangan saya tidak mendapat perhatiannya (Najib) berikutan beliau tidak membalas SMS saya, saya merasakan dia terbabit dan sesuatu yang tidak kena berlaku tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Ditanya pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram sama ada beliau mendapati “luar biasa” bagi Najib untuk tidak membalas pesanan teks sedemikian, Bakke menjawab secara afirmatif.

Beliau berkata, antara isu yang beliau tidak berpuas hati adalah pemindahan USD700 juta kepada firma dikenali sebagai Good Star Ltd. Katanya, pemindahan itu tidak pernah dibincangkan dengan beliau dan pengarah lain.

Sebelum ini, mahkamah mendengar bahawa 1MDB pada 2009 menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd, atau PSI, dan di bawah terma kontrak itu, ia perlu membelanjakan USD1 bilion untuk usaha sama itu.

USD1 bilion itu sepatutnya dimasukkan ke akaun usaha sama 1MDB-PSI, tetapi hanya USD300 juta dipindahkan ke akaun itu. Ia kemudiannya didapati Good Star dikawal oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low.

Bakke juga memberitahu mahkamah, dia menemui bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 2015, ketika pihak berkuasa melancarkan siasatan mereka ke atas dana itu.

“Shahrol beritahu saya, dia mempunyai mandat daripada perdana menteri (Najib) untuk memindahkan dana tersebut.

“Tetapi, dia tidak menunjukkan sebarang dokumen kepada saya untuk menyokong apa yang dia beritahu saya,” katanya.

Leave a Reply