PAS Kelantan akan bertindak balas berpandukan arahan pusat, kata MB

Hebahkan !!!

PAS bersedia menghadapi kesan daripada strategi Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan untuk menumbangkan kerajaan parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ahmad Yakob, berkata perancangan seperti itu biasa dalam politik semasa dan mana-mana parti boleh membuat apa saja perancangan, selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan negara.

Beliau berkata, PAS Kelantan akan bertindak balas, berpandu arahan dan keputusan PAS pusat.

“Masing-masing membuat persiapan. Apapun, kita berpandu kepada arahan dan keputusan pusat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan sebuah gabungan baharu diberi nama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan ditubuhkan dengan hasrat menumbangkan PAS di Kelantan pada pilihan PRU15.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dilaporkan berkata, gabungan yang diketuai Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan mengadakan program pertamanya Sabtu ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata semua parti bebas untuk membuat gabungan kerana Malaysia negara demokrasi.

Leave a Reply