Chelsea ada risiko ditendang keluar Liga Perdana Inggeris

Hebahkan !!!

LONDON – Chelsea mungkin ditendang keluar dari Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan sekiranya urusan pertukaran pemilikan pasukan tidak berjaya.

Ia susulan keputusan Roman Abramovich yang menuntut semula pelaburannya bernilai RM8.7 bilion untuk dibayar sepenuhnya sebagai sebahagian daripada rundingan penjualan pasukan itu.

Pemilik bersama LA Dodgers, Todd Boehly difahamkan menjadi pembida yang menjadi pilihan Raine Group namun urusan penjualan pasukan terganggu susulan perubahan yang dimahukan Chelsea.

Sebelum ini, Abramovich tidak mahu wangnya semula namun Blues kini berpendapat ‘hutang’ kepada Abramovich menerusi syarikat induk Fordstam itu perlu menerima sebahagian hasil jualan kepada Camberley International Investment.

Nama Abramovich tidak muncul dalam apa-apa senarai kewangan syarikat itu namun dia dipercayai memiliki kaitan dengan syarikat terbabit.

Justeru, kerajaan berpendapat situasi itu akan memberi manfaat kepada Abramovich meskipun dia sebelum ini pernah menyatakan wang bukanlah keutamaan buat dirinya.

Menteri bertanggungjawab juga menegaskan mereka tidak mahu Abramovich mendapat apa-apa manfaat daripada hasil penjualan pasukan itu selepas dikenakan sekatan atas sokongan ke atas Vladimir Putin yang melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

Idea mengenai Abramovich ataupun syarikat berkaitan akan menerima RM8.7 bilion – walaupun ia adalah wang yang dipinjamkan kepada pasukan bagi tempoh 19 tahun lalu – disifatkan sebagai ‘tidak boleh berlaku.’

Chelsea sudah dimaklumkan bahawa lesen operasi pasukan hanya bertahan sehingga 31 Mei dan pasukan itu kini beroperasi atas ‘masa yang terhad’.

Selain rundingan penjualan kelab diterima oleh kerajaan – Abramovich dijamin tidak menerima sebarang keuntungan – dalam tempoh masa yang ditetapkan, Chelsea berdepan kemungkinan tersingkir dari EPL.

Ini sekali gus bakal memadam sejarah 117 tahun Stamford Bridge.

Leave a Reply