JPJ guna Go Pro rakam kesalahan pengguna jalan raya

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 128 kamera aksi pengawasan akan digunakan unit penguatkuasaan bermotosikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya, terutama sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata unit berkenaan akan membuat rondaan di sepanjang kawasan dikenal pasti titik panas (hotspot) dan akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

“Sekatan jalan raya seperti biasa tetapi memandangkan jumlah kenderaan semakin meningkat di jalan raya, pemantauan akan dilakukan oleh anggota yang dilengkapi kamera aksi pengawasan jenis GoPro Max 360 di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program kick-off Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Plaza Tol Sungai Besi di sini malam tadi.

Operasi itu sebagai pembuka tirai Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 bermula hari ini hingga 9 Mei depan.

Zailani berkata kamera itu digunakan untuk mengesan kesalahan, antaranya tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong di sebelah kiri dan membawa lebih muatan.

Beliau berkata menerusi rakaman diperolehi, pemilik kenderaan akan dipanggil untuk disoal siasat sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, katanya sepanjang operasi bermula 9 malam hingga tengah malam tadi, sebanyak 1,137 kenderaan diperiksa dengan 279 kenderaan dikenakan tindakan selain 508 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

Operasi di kedua-dua arah tol berkenaan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen dan Plus Expressways Bhd melibatkan 198 pegawai dan anggota. – BERNAMA

Leave a Reply