Tahanan etnik Rohingya yang lari dikesan sudah berada di Selayang

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu dikesan berada di sekitar Selayang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan sebelum tindakan diambil.

“Berdasarkan maklumat yang diterima berkemungkinan mereka dibantu oleh komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

“Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas ialah seramai 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu pelarian yang masih bebas.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.

©Harian Metro

Leave a Reply