Polis tahan lelaki terbabit kes samun guna pistol palsu

Hebahkan !!!

KUALA LANGAT – Polis menahan seorang lelaki yang terbabit dalam beberapa jenayah samun menggunakan pistol palsu di Jalan Sungai Buaya, Banting, kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun dikesan melakukan jenayah di sekitar Kuala Langat dan Klang sejak seminggu lalu dengan menyasarkan kedai runcit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata suspek ditangkap susulan laporan peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Buaya yang mendakwa disamun lelaki bersenjatakan pistol.

Ketika kejadian, mangsa didatangi suspek yang memegang sepucuk pistol dan meminta wang sebelum berlaku pergelutan.

“Berdasarkan maklumat, polis menahan suspek pada jam 8.40 pagi di Jalan Sungai Buaya, Banting serta menemui sejumlah barang dan wang disyaki hasil daripada kegiatan samun di Kuala Langat dan Klang.

“Antara barang rampasan ialah sepucuk pistol palsu bersama satu unit kelopak tanpa peluru; sebilah pisau hulu, sekeping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM); pas pekerja; telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek yang juga peniaga kecil tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mula aktif sejak seminggu lalu.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun kedai runcit di Taman Rambai Indah; Jalan Sungai Buaya; Kampung Kanchong; Bandar Saujana Putra; Telok Gong (Pelabuhan Klang) serta sebuah klinik di Rimbayu.

“Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

©Berita Harian

Leave a Reply