Nama anak Halim Othman kekal berbintikan Abdullah

Hebahkan !!!

Pengacara dan bekas penyampai radio Halim Othman, 56, mencapai kata sepakat bersama anaknya, Myra Natasya, 27, untuk mengekalkan ‘binti Abdullah’ dan tidak menukarkan kepada nama Halim.

Menurut Halim keputusan itu dibuat selepas perjumpaannya bersama Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh di Putrajaya, semalam.

“Selepas berbincang dan mendengar penerangan daripada KP berhubung masalah saya yang sudah tidak ada dokumen perkahwinan itu, sebenarnya isu saya ini bukan kes terpencil kerana banyak orang berhadapan situasi seperti ini.

“Jadi, dengan segala keterangan diperoleh itu dan saya pun sudah berbincang dengan Myra yang akhirnya kami sepakat mengekalkan saja nama Yusmyra Natasya binti Abdullah.

“Ini kerana, kita sudah mengambil kira beberapa aspek iaitu kesulitan jika nak buat pertukaran nama bapa, termasuk kita juga nak ‘move on’ dan paling utama, saya percaya ada hikmah yang besar disebalik nama Abdullah itu,” katanya ekslusif kepada Harian Metro.

Halim berkata, dengan pertemuan berkenaan membuatkan dia terharu kerana JPN sudi membantu menyelesaikan isu ‘binti Abdullah’ yang dialami anak tunggalnya, pengacara dan pelakon Myra Natasya.

“Meskipun nama Yusmyra Natasya binti Abdullah itu tetap saya ‘maintain’, namun ingin saya ingatkan kepada pasangan yang bernikah di Thailand supaya mendaftar perkahwinan mereka dalam negara.

“Walau perkahwinan dibina itu bermasalah, pergilah jumpa pihak JPN untuk mendapatkan kaunseling, nasihat dan penjelasan lanjut. Ia penting supaya sekiranya ada anak tidaklah akan menjadi isu seperti kes saya.

“Tidak perlu rasa malu, takut ditangkap JPN atau sebagainya kerana mereka tak akan menangkap kita sebaliknya membantu menyelesaikan masalah dialami. Mendaftarkan perkahwinan penting agar tidak memberi stigma kepada keluarga terutama anak itu nanti,” katanya.

Menurut Halim, pasangan ibu bapa bernikah di Thailand kena peka dan jangan sesekali ambil jalan mudah. Jelasnya lagi, tidak perlu rasa takut dengan JPN dan apa diharapkannya kini agar isu dia dan anak yang ‘berbintikan Abdullah’ itu selesai dalam bulan Ramadan ini juga.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Halim mengaku Myra Natasya Abdullah adalah anak tunggalnya bersama bekas isteri, Yusnita Omar, 47, yang bernikah di Thailand pada 1994.

Bagaimanapun, tidak sampai setahun rumah tangga dibina mereka berantakan dan Halim serta bekas isteri membawa haluan masing-masing.

Namun, Myra pula lahir pada 1995. Disebabkan kerjaya Halim dalam bidang hiburan baru bermula dan amat sibuk pada 1996 dan 1997 itu, maka urusan perceraian mereka dapat diselesaikan di Thailand pada 1998 selepas Myra berusia tiga tahun.

©Harian Metro

Leave a Reply