Lokman Adam buat laporan SPRM pendedahan Malaysia Today

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan pendedahan oleh satu artikel terbitan portal Malaysia Today yang memuatnaik satu surat yang menyerupai surat Maybank Investmen Bank.

Menurut beliau, portal berkenaan juga mendedahkan dokumen yang menyerupai minit mesyuarat Lembaga Pengarah Maybank tentang satu pinjaman bernilai RM6.17 bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dokumen ini juga menunjukkan bahawa terdapat penglibatan Hakim Nazlan dengan transaksi 1MDB ini.

“Saya percaya satu laporan telah dibuat sebulan sudah berkenaan document ini.

“Dokumen ini mengandungi nama Hakim Nazlan dan kita memohon agar pihak SPRM mengesahkannya,” katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM di Putrajaya, semalam.

Selain itu, Lokman berkata dokumen berkenaan juga mendedahkan cadangan penubuhan syarikat SRC International Sdn Bhd adalah datang dari Maybank dan bukan dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dinyatakan dalam penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata laporan yang dibuat kepada SPRM bertujuan mahu SPRM melakukan siasatan penuh pendedahan berkenaan berkaitan penglibatan Mohd Nazlan dalam perjalanan syarikat SRC dan 1MDB.

Mohd Nazlan sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan apabila satu artikel oleh pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang bertajuk “Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account” pada 20 April yang lepas.

Beliau merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam perbicaraan tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International pada 28 Julai 2020 yang lalu.

Kira-kira 100 orang ahli Persatuan Laskar Siber Malaysia turut mengiringi Lokman di SPRM untuk untuk membuat laporan berkenaan. – MY NEWS ONLINE

Leave a Reply