Nagaenthran telah dihukum gantung sampai mati awal pagi tadi

Hebahkan !!!

SINGAPURA – Nagaenthran Dharmalingam, lelaki warga Malaysia yang didapati bersalah mengedar dadah di Singapura telah dihukum gantung.

Menurut adiknya Navin Kumar, 22, hukuman mati itu telah dijalankan awal pagi tadi.

Tambahnya, upacara persemadian akan diadakan di Ipoh sejurus jasadnya dibawa pulang hari ini, lapor Reuters.

Terdahulu Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Dengan keputusan itu menamatkan ikhtiar saat akhir warga Malaysia berusia 34 tahun itu yang dijadualkan dihukum gantung pada Rabu (27 April) selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atasnya bulan lalu.

Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

Semasa perbicaraan, Panchalai berkata melalui jurubahasa: “Saya ibunya. Saya membuat petisyen. Kami mahu dia hidup…Kami perlu mendapatkan peguam untuk kes ini.”

Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Kes Nagaentran menarik perhatian pihak luar.

Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Sementara itu, pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.
Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Leave a Reply