Warga Singapura adakan protes nyalaan lilin untuk Nagaenthran menjelang hukuman mati

Hebahkan !!!

 

Kira-kira 300 orang menyalakan lilin di sebuah taman di Singapura pada malam Isnin sebagai simbol bantahan terhadap rancangan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati seorang warga Malaysia yang disabitkan kesalahan penyeludupan dadah, di mana aktivis mengatakan ia tidak sepatutnya dilaksanakan berikutan status banduan bilik akhir itu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Nagaentran K Dharmalingam, 34, dihukum gantung sampai mati lebih sedekad lalu kerana mengedar 43g heroin ke Singapura.

Pada Mac lalu, Nagaenthran gagal dalam rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Hari ini, Mahkamah Agung Singapura akan mendengar satu lagi usul yang difailkan oleh ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam, bagaimanapun butiran usul jenayah tersebut masih tidak jelas.

“Saya tidak mahu berputus asa sehingga hari hukumannya,” kata sepupu Nagaenthran, Thenmoli Sunniah merujuk jadual pelaksanaan hukumannya pada 27 April.

Ketika acara berlangsung, keluarga Nagaenthran hanya berdiri di sekeliling taman kerana warga asing tidak dibenarkan menyertai acara protes di bawah undang-undang Singapura.

Peguam dan aktivis berkata skor IQ Nagaentran adalah sebanyak 69, satu tahap di mana dia boleh diisytihar sebagai OKU mental.

Himpunan aman itu turut diiringi dengan ucapan, doa dan persembahan muzik.

Para penyokong turut memakai kemeja T dengan slogan yang menggesa hukuman mati dimansuhkan di Singapura.

Acara itu turut memprotes pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang lagi warga Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, yang disabitkan kesalahan mengedar 45g diamorfin.

Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa dengan sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), taikun Britain Richard Branson bersama-sama Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dan aktivis hak asasi manusia menggesa Singapura meringankan hukumannya.

“(Hukuman mati) tidak lagi perlu dan ketinggalan zaman, ia tidak menjadikan kita lebih selamat, bahkan dilihat menyasarkan golongan miskin dan minoriti,” kata seorang peserta berusia 26 tahun, Jess Koh.

Kerajaan Singapura sering mendakwa hukuman mati yang dijalankan di negara itu adalah pencegah terbaik dalam usaha memerangi jenayah pengedaran dadah dan kebanyakan rakyatnya turut menyokong hukuman tersebut.

 

 

Leave a Reply