Prasarana akan perluaskan kolaborasi mudahkan transaksi tanpa tunai

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperluaskan kolaborasi dengan lebih banyak aplikasi termasuk syarikat e-dompet, dalam usaha digitalisasi dan memudahkan kaedah pembayaran tiket dan pas perjalanan pengangkutan awam seliaannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, usaha itu juga merupakan langkah untuk meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengguna sejajar hasrat menarik semula minat orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Kerjasama seperti ini juga diharap dapat meningkatkan semula jumlah penumpang harian yang terjejas akibat COVID-19, seiring peralihan negara ke fasa endemik,” katanya pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Prasarana bersama BonusKad Loyalty Sdn Bhd (BonusLink) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Prasarana memeterai usaha sama bersama BonusLink yang membolehkan pengguna membeli pas perjalanan tanpa had My50 secara dalam talian, dan membuat transaksi tanpa tunai menerusi aplikasi dikenali sebagai Blink.

Mohd Azharuddin berkata, kerjasama itu merupakan antara inisiatif pihaknya, sebagai alternatif kepada pengguna bagi membeli pas perjalanan tanpa had My50 yang sebelum ini hanya boleh dibeli secara tunai di kaunter stesen tren kendalian Prasarana.

“Kolaborasi ini merupakan titik permulaan bagi Prasarana, bergerak secara agresif untuk meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengguna sejajar dengan hasrat untuk menarik semula minat orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Mohd Azharuddin berkata, kolaborasi yang akan bermula 15 Mei ini secara rintis dan Bukti Konsep selama tiga bulan itu, akan menggunakan Blink sebagai landasan utama bagi pembelian dan penebusan mata ganjaran sebagai ahli BonusLink.

Beliau berkata, pengguna yang membeli atau menebus pas perjalanan My50 melalui Blink dengan menghantar butiran lengkap, akan menerima e-baucar dan seterusnya boleh menebus pas perjalanan itu dengan menggemukakan baucar dicetak di 10 kaunter stesen tren terpilih, antaranya Masjid Jamek dan Pasar Seni.

“Jika mendapat sambutan menggalakkan, fasa kedua akan terus dilaksanakan di kesemua stesen rel dan bas kendalian Rapid KL, selain akan dipertingkatkan dengan mengembangkan saluran jualan dalam talian dan tanpa tunai melalui aplikasi PULSE oleh Prasarana,” kata Azharuddin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BonusLink, Melvin Ooi berkata, ahli BonusLink boleh menikmati pulangan mata ganjaran sehingga 40 peratus dengan setiap pembelian pas perjalanan My50 menggunakan kad AmBank BonusLink Visa atau sebarang kad Visa dalam tempoh promosi tersebut.

Beliau percaya kerjasama tersebut merupakan permulaan yang baik dalam menyediakan kemudahan tambahan untuk perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia. – BERNAMA

 

Leave a Reply