Perubahan iklim sebabkan bilangan serangga merosot

Hebahkan !!!

Semakin banyak laporan yang menunjukkan bilangan serangga sedang menurun dengan ketara, dedah kajian yang dilakukan oleh portal The Conversation.

Kehilangan biodiversiti serangga meletakkan fungsi ekologi penting ini dalam risiko, mengancam mata pencarian manusia dan keselamatan makanan. Namun di seluruh pelosok dunia, terdapat jurang dalam pengetahuan kita tentang skala sebenar dan penurunan jumlah serangga.

Kebanyakan maklumat datang daripada data yang dikumpul di kawasan tertentu, terutamanya Eropah dan Amerika Utara.

Sebagai contoh, kehilangan pendebunga telah dikenal pasti di Great Britain, rama-rama mengalami penurunan dalam bilangan antara 30 dan 50 peratus di seluruh Eropah, manakala pengurangan 76 peratus dalam biojisim serangga terbang dilaporkan di Jerman.

Kehilangan habitat diketahui sebagai ancaman utama kepada biodiversiti, namun kesannya terhadap serangga belum dikaji secara terperinci, dan penilaian spesies tropika sangat jarang berlaku.

Satu kajian mendapati bahawa lebah orkid yang bergantung kepada hutan di Brazil telah merosot dengan banyaknya sekitar 50 peratus.

Lebah orkid, yang hanya terdapat di benua Amerika, adalah pendebunga penting bagi bunga orkid, dengan sesetengah tumbuhan bergantung sepenuhnya kepada serangga ini untuk pendebungaan mereka.

Menambah cabaran ialah penebangan hutan dan perubahan habitat jangka panjang, ialah perubahan iklim.

Ancaman yang timbul terhadap biodiversiti serangga ini dikaitkan dengan penurunan rama-rama di Costa Rica dan lebah di Eropah dan Amerika Utara. Peningkatan suhu dan peningkatan kekerapan kejadian cuaca ekstrem, seperti kemarau, hanyalah dua manifestasi yang diketahui mempunyai kesan berbahaya kepada banyak spesies serangga.

Diramalkan bahawa perubahan iklim akan memberi kesan yang sangat besar di kawasan tropika planet ini. Suhu di kawasan tropika secara semula jadinya agak stabil, jadi serangga kebiasaannya tidak bersedia menghadapi perubahan pantas dalam suhu seperti yang berlaku kini.

Kekurangan data juga satu masalah besar kerana hampir semua data yang ada datang dari hanya beberapa kumpulan serangga yang dikaji – khususnya, rama-rama dan lebah – manakala banyak kumpulan lain tidak begitu mendapat perhatian.

Untuk menyokong lebih banyak biodiversiti serangga dalam persekitaran tempatan, kita boleh menanam pelbagai tanaman untuk menarik serangga, mengurangkan jumlah racun perosak yang digunakan dan mengurangkan kekerapan memotong rumput.

Selain itu, masyrakat juga boleh membuat pertimbangan berkenaan pilihan yang dibuat sebagai pengguna. Sebagai contoh, membeli kopi atau koko yang ditanam di tempat teduh akan memastikan impak yang lebih rendah terhadap biodiversiti berbanding tanaman yang ditanam di tempat terbuka.

Sementara itu, kerajaan, organisasi awam dan swasta harus mempertimbangkan dengan lebih teliti kesan tindakan dan dasar mereka terhadap serangga.

Ini termasuk pertimbangan wajar terhadap kepelbagaian biologi dalam dasar dan perjanjian perdagangan, dan memastikan produk tidak diperoleh daripada kawasan yang dikaitkan dengan kadar penebangan hutan yang tinggi. – ©Astro Awani

Leave a Reply