Tiga terbunuh dalam kebakaran pusat karaoke

Hebahkan !!!

ALOR SETAR – Tiga pelanggan sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, di sini, terkorban manakala lapan lagi terselamat dalam kebakaran di premis itu pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 10.19 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, sejurus tiba di lokasi anggota bomba dimaklumkan terdapat 11 orang berada dalam premis dua tingkat itu, namun lapan daripadanya sempat menyelamatkan diri.

“Tiga pelanggan terbabit gagal dikesan dan dipercayai terperangkap, sebelum mereka ditemui meninggal dunia di dalam dua bilik kenamaan tingkat bawah premis itu,

“Mangsa pertama dikenali sebagai Mark Barry, 32, ditemui dalam bilik VIP 1 jam 11.30 pagi, manakala seorang mangsa wanita, Kim Mei Kit, 32, dan mangsa lelaki, Jeffry Tan Yan Wei, 30, ditemui dalam bilik VIP 2 tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Syufaat berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi.

“Selepas disahkan oleh pengurus pusat karaoke itu tiada lagi mangsa operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

“Anggota bomba berdepan kesukaran untuk mencari mangsa disebabkan terdapat banyak bilik karaoke serta bilik rahsia dalam pusat hiburan itu.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai mati akibat lemas di dalam asap dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Leave a Reply