Taiwan perinci keupayaan serangan peluru berpandu

Hebahkan !!!

TAIPEI – Taiwan sedang membangunkan peluru berpandu yang boleh menyerang pangkalan laut dan menghancurkan kapal musuh serta dron yang menyasarkan lokasi tembakan.

Tahun lalu, Taiwan meluluskan T$240 billion atau AS$8.2 bilion (RM35.33 bilion), perbelanjaan tambahan ketenteraan untuk tempoh lima tahun apabila ketegangan dengan China kian memuncak.

China yang mendakwa pulau itu adalah sebahagian daripada jajahannya, berulang kali menghantar pesawat tenteranya untuk terbang melalui zon identifikasi pertahanan udara Taiwan.

Taiwan turut merancang menggandakan kapasiti penghasilan peluru berpandu kepada hampir 500 bagi tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Pertahanannya, bulan lalu, yang ketika ini dilihat terus meningkatkan kuasa tempurnya.

Dalam satu laporan ke Parlimen minggu ini, Institut Sains dan Teknologi Kebangsaan Chung-Shan menawarkan maklumat lanjut mengenai kemampuan peluru berpandu dan dron yang dibangunkannya, dalam peperangan.

Peluru berpandu Hsiung Sheng mempunyai jarak sehingga 1,000 kilometer dan mempunyai dua variasi; satu dilengkapi kepala peledak letupan tinggi untuk menyerang kubu dan pusat kawalan yang kukuh, manakala yang lain mempunyai peluru pecah untuk menghancurkan kemudahan lapangan terbang.

Peluru berpandu permukaan-ke-udara Sky Bow III direka untuk menjatuhkan peluru berpandu balistik dan kapal pelayaran berpeluru serta jet pejuang.

Perancangan Taiwan mendahului pencerobohan Russia ke atas Ukraine, bagaimanapun peperangan itu mencetuskan perbualan mengenai pengajaran yang boleh digunakan oleh Taiwan untuk melawan serangan China, termasuk bagaimana Ukraine menentang pasukan yang lebih unggul dari segi angka.

Hampir 64 peratus perbelanjaan lebihan ketenteraan Taiwan, di samping perbelanjaan terancang sebanyak T$471.7 bilion (RM69.48 bilion) untuk 2022 akan digunakan bagi senjata antikapal seperti sistem peluru berpandu permukaan, termasuk pelan T$148.9 bilion (RM21.93 bilion) untuk penghasilan peluru berpandu buatan tempatan secara besar-besaran dan kapal berprestasi tinggi.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menjadikan usaha pemodenan tentera sebagai keutamaannya, selain mendorong projek pertahanan termasuk kapal perang tersembunyi kelas terbaharu dan kapal selam buatan sendiri.

Tsai turut memperjuangkan apa yang digelar “peperangan asimetri”: membangun teknologi tinggi dan senjata mudah alih yang sukar dimusnahkan serta mempunyai sasaran tepat.

Taiwan percaya China mempunyai ribuan peluru berpandu yang disasarkan ke wilayahnya dan jumlah pasukan yang lebih besar.

China juga mempunyai senjata nuklear yang tidak dimiliki oleh Taiwan selain tidak pernah menolak penggunaan kekerasan untuk membawa pulau demokrasi itu di bawah kawalannya.

Leave a Reply