Neelofa mungkin tidak akan kembali berlakon lagi

Hebahkan !!!

“Lakonan, tak rasanya,”

Itu jawapan spontan pengacara dan pelakon popular, Neelofa ketika ditanya mengenai kerjaya seninya selepas berkahwin dan melahirkan cahaya mata sulung.

Neelofa, 33, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, apa yang menjadi keutamaan kini adalah menjaga, mengurus dan membesarkan anaknya, Muhammad Bilal yang kini berusia tiga bulan, hasil perkongsian hidup bersama suami, Ustaz Muhammad Harris Mohd Ismail atau PU Riz, 27.

Menurut Neelofa yang juga bekas pengacara program MeleTop, dia boleh memberi fokus pada rangkaian perniagaan yang diusahakan.

“Selepas berbincang dengan suami mengenai kerjaya seni, saya mungkin akan keluar dengan program bual bicara tidak lama lagi tapi masih dalam proses perbincangan. Nanti saya akan kongsikan, tak lama lagi. Insya-Allah lepas raya akan dimaklumkan.

“Cuma, fokus lebih kepada perniagaan dan keutamaan kami lebih pada Bilal. Saya pun tak nak tinggalkan dia lama-lama dengan pembantu.

“Saya nak jalankan rutin sebagai ibu itu lebih daripada lain. Kalau perniagaan pun mudah, sebab boleh buat dari rumah. Jarang pun pergi mesyuarat atau buat penggambaran. Sama juga macam program dalam industri pun, tak makan masa yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Riz ketika ditanya adakah keterbatasan Neelofa dalam kerjaya seni berkata, perkara itu sudah dibincangkan secara terperinci.

“Alhamdulillah kita sudah berbincang perkara ini begitu terperinci setiap perkara dengan imej agama dibawa kena banyak berhati-hati dan sebagainya.

“Alhamdulillah, Lofa boleh ikut. Banyak pun dia ikut, pakaian pun dia taat pada perintah Allah SWT. Jadi kita bagi dia ruang berkarya dalam perkara yang dia sudah biasa buat.

“Soal lakonan, kita tak kata tak nak terbabit langsung, tapi itu bukan keutamaan sebab sekarang buat perniagaan dan masa tu tak ada. Lebih pada nak fikir perniagaan, ada produk baru nak lancar. Macam saya pun lakonan, setakat perancangan tak ada lagi,” katanya.

Neelofa dan PU Riz berkahwin pada Mac tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal. – ©Harian Metro

Leave a Reply