Genap setahun tragedi kapal selam KRI Naggala-402 berlalu

Hebahkan !!!

JAKARTA – Tarikh 21 April semalam menandakan genap setahun tragedi kapal selam KRI Nanggala-402 dilaporkan terputus hubungan sebelum disahkan tenggelam di perairan Bali.

Berita kapal selam yang mengorbankan 53 nyawa itu meninggalkan kesan mendalam buat seluruh penduduk Indonesia.

Kapal selam buatan Jerman itu merupakan unit pertahanan Tentera Laut Indonesia yang sudah mencecah usia 40 tahun.

Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto berkata, kehilangan kapal selam itu menunjukkan betapa rumitnya urusan mengelola pertahanan negara.

Jelasnya, aspek pertahanan negara mengandungi tiga unsur penting melibatkan udara, darat dan laut.

“Kejadian ini menunjukkan pertahanan negara adalah suatu pekerjaan yang sangat rumit, memerlukan satu teknologi yang sangat tinggi dan mengandungi unsur bahaya,” katanya.

Menurut Prabowo, Tentera Nasional Indonesia (TNI) perlu berada dalam keadaan sedia bertempur dalam mematangkan pengelolaan pertahanan negara.

Katanya, TNI perlu aktif menjalankan latihan sekalipun dalam situasi bahaya.

Dalam pada itu, Prabowo menjelaskan terdapat faktor lain yang menjadi halangan terhadap pertahanan negara iaitu harga alat utama sistem persenjataan yang mahal.

Akibatnya, kata Prabowo, pemimpin negara selalu berhadapan dengan dilema antara mengutamakan perbelanjaan terhadap pembangunan kesejahteraan masyarakat atau pertahanan negara.

“Presiden telah memerintahkan saya tahun lalu supaya bersama pimpinan TNI untuk menyusun satu rencana induk 25 tahun keupayaan pertahanan negara secara menyeluruh.

“Kita dalam fasa menyediakan pelan itu dan dalam tempoh dua ke tiga minggu dijangka dapat diserahkan kepada Presiden,” katanya.

Leave a Reply