Siti Nurhaliza kembali dengan lagu Aidilfitri

Hebahkan !!!

Selepas hampir enam tahun tidak merakamkan single bertemakan Aidilfitri dengan bingkisan terakhir Hari Kemenangan, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan lagu ‘catchy’, Lip Lap Raya.

Single terbaru ini berkisar kemeriahan sambutan Aidilfitri selepas dua tahun umat Islam di Malaysia meraikan hari kemenangan dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19.

Lip Lap Raya mendapat sentuhan Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan. Istimewanya lagu itu menggabungkan rentak inang, canggung dan diselitkan elemen dikir barat.

Penerbitnya, Glow Rush, berkata keistimewaan lagu Lip Lap Raya adalah pada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan drama elektronik, synthesizer yang digabungkan bersama kemantapan vokal Siti.

Mengulas mengenai buah tangan baharu itu, Siti menyifatkan Lip Lap Raya sebagai lagu yang dapat menarik minat peminat selepas mendengarnya buat kali pertama.


“Lazimnya, lagu baharu mengambil masa untuk diterima atau digemari. Namun, muzik yang ditampilkan dalam Lip Lap Raya mudah melekat di hati pendengar.

“Saya gembira dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya kerana secara tidak langsung menambah koleksi lagu raya saya.

“Saya sangat berharap Lip Lap Raya menjadi lagu malar segar suatu hari nanti,” katanya yang turut menyiapkan video muzik Lip Lap Raya yang diarahkan Aaron Lee.

Lip Lap Raya diterbitkan Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama.

Video muzik Lip Lap Raya boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza mulai jam 9 malam tadi, manakala lagu Lip Lap Raya boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer. – ©Berita Harian

Leave a Reply