Polis kekalkan perintah berkurung di Sri Lanka

Hebahkan !!!

COLOMBO – Polis mengekalkan perintah berkurung di tengah Sri Lanka pada Rabu, sehari selepas pembunuhan penunjuk perasaan antikerajaan yang mencetuskan kecaman antarabangsa.

Kerajaan berjanji akan menyiasat dakwaan polis menggunakan kekerasan berlebihan untuk menyuraikan orang ramai yang membantah harga bahan api yang tinggi dan menuntut peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa berikutan krisis ekonomi yang semakin teruk.

Sri Lanka berada dalam kemelesetan ekonomi yang paling teruk sejak kemerdekaan pada 1948, dengan kekurangan bahan api dan barangan lain yang teruk serta mencatatkan inflasi yang menyebabkan keadaan yang buruk.

“Saya memulakan siasatan ke atas tingkah laku pegawai di Rambukkana,” kata ketua polis Chandana Wickramaratne dalam satu kenyataan sambil mengarahkan perintah berkurung tanpa had di kawasan itu.

Dalam pertempuran maut pertama sejak protes antikerajaan tercetus bulan ini, sekurang-kurangnya 29 orang termasuk 11 anggota polis cedera, kata pegawai.

Duta termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada, menyatakan kebimbangan terhadap kejadian tembakan dan menggesa semua pihak bersabar ketika Sri Lanka membuka rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington.

“Penyiasatan penuh dan telus adalah penting dan hak rakyat untuk bantahan aman mesti dipertahankan,” kata duta AS, Julie Chung.

Pesuruhjaya Tinggi Britain Sarah Hulton mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan menyeru supaya ia dihalang.

Rakan sejawatannya dari Kanada, David McKinnon mereka yang mencetuskan keganasan mesti bertanggungjawab.

Dalam beberapa jam, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang satu lagi protes di selatan pulau itu, tetapi tiada laporan terkini mengenai kematian, kata pegawai dan penduduk.

Leave a Reply