Pakai Tidak sopan depan orang ramai , kena tegur

Hebahkan !!!

Seramai 12 individu berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di khalayak awam diberi teguran dalam pemeriksaan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di Dataran Lembah Sireh di sini, semalam.

Semua individu berkenaan masing-masing tujuh lelaki dan lima wanita berusia 18 hingga 25 tahun berkunjung ke lokasi itu untuk menunggu waktu berbuka puasa diberikan notis oleh anggota penguat kuasa menerusi operasi bersepadu yang bermula jam 5.30 petang.

Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Shaifudeen Md Salleh berkata, mereka diberikan notis mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak awam.

Katanya, teguran diberikan kepada pengunjung lelaki dan wanita yang memakai pakaian tidak menutup aurat serta menjolok mata dan berkelakuan tidak sopan.

“Tindakan penguatkuasaan secara memberi nasihat dan pengeluaran notis kepada individu yang melanggar undang-undang dibuat bertujuan mendidik masyarakat untuk memelihara syariat agama Islam.

“Ia juga bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan bandar Kota Bharu serta kesucian agama Islam terutamanya dalam bulan Ramadan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan 30 anggota dari Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI dan JAHEAIK yang memfokuskan kawasan sekitar Lembah Sireh.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan diadakan dari semasa ke semasa dan menasihatkan kepada umat Islam supaya berpakaian sopan di khalayak ramai.

“Selain itu, MPKB-BRI juga menyediakan kemudahan ruang solat bagi lelaki dan wanita serta tempat berwuduk di lokasi itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply