Faktor bagaimana JDT mampu jinakkan Ulsan Hyundai

Hebahkan !!!

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) boleh dianggap sebagai satu kejutan besar yang patut dibanggakan.

Semua tahu, bukan keputusan mudah dilakar anak buah Benjamin Mora itu apatah lagi lawan mereka bukan calang-calang pasukan di peringkat Asia apabila pernah menjuarai ACL 2012 dan 2020 selain belum tewas dalam Liga K1 musim ini.

Justeru, tidak hairanlah mengapa JDT wajar meraikan kemenangan itu walaupun ia hanya aksi kedua peringkat Kumpulan I dan kedua-dua pasukan akan bertemu lagi pada pusingan kedua, 30 April ini.

Berdasarkan perlawanan kelmarin, BH Sukan menyenaraikan lima faktor yang boleh dianggap penyumbang kepada kejayaan manis Harimau Selatan memerangkap Harimau dari Korea Selatan itu.

1. Mentaliti Pemain

Tidak hirau status lawan, semangat juang, berani dan keyakinan tinggi yang ditunjukkan barisan pemain JDT menjadi tunjang utama kepada kejayaan mereka meraih kemenangan ke atas Ulsan Hyundai.

Sekiranya tanpa semua sikap dalam diri pemain JDT, mustahil untuk mereka mengatasi pasukan besar yang turut dibarisi pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia.

Kemenangan besar 5-0 ke atas Guangzhou pada aksi pertama, Jumaat lalu mungkin melengkapkan motivasi atau mentaliti juara pemain JDT.

2. Taktikal Mora

Perancangan taktikal yang menjadi dari Mora mencetuskan nilai tambah kepada semangat juang dan keyakinan pemain JDT, sekali gus membentuk adunan yang menarik di atas padang.

Pengendali dari Mexico itu pasti sudah melakukan kerja rumah atau kajian dengan teliti mengenai corak permainan skuad kendalian Hong Myung-bo.

Buktinya, Mora mendedahkan bahawa beliau mengarahkan pemainnya melakukan tekanan sebaik perlawanan bermula selain menutup ruang di posisi tengah untuk memerangkap lawan.

3. Bisa Bergson, Forestieri

Bergson Da Silva boleh dianggap sebagai antara penyerang terbaik yang pernah dimiliki JDT dan kehadiran Fernando Forestieri pada musim ini menajamkan lagi taring Harimau Selatan.

Empat gol dalam dua perlawanan awal ACL musim ini sudah cukup membuktikan kualiti penyudah yang dimiliki Bergson.

Jika bukan kerana jaringan menarik Forestieri dan Bergson pada minit ketiga dan 80, tidak mungkin Harimau Selatan boleh mengecapi malam gemilang berdepan Ulsan Hyundai.

4. Aura Stadium Sultan Ibrahim

Keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih JDT sebagai tuan rumah untuk saingan Kumpulan I boleh dianggap tuah kepada Harimau Selatan.

Faktor padang dan aura sokongan padu pemain ke-12 di Stadium Sultan Ibrahim jelas menjadi penyumbang kepada aksi meyakinkan anak buah Mora.

Selain kualiti padang yang berada pada tahap terbaik, faktor sudah biasa dengan ‘rumputnya’ juga menyebabkan corak permainan JDT tidak terjejas berbanding jika terpaksa beraksi di gelanggang lain.

5. Percaturan TMJ

Sasaran hanya mahu melepasi saingan peringkat kumpulan yang diletakkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh dianggap sebagai satu tindakan tepat.

Ia menyaksikan pemain tidak berdepan sebarang tekanan, walaupun Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) pasti sebenarnya sedar kualiti yang dimiliki pasukannya musim ini dengan kemasukan beberapa bintang import baharu.

Malah, TMJ juga pasti memainkan peranan penting terutama di sebalik tabir dalam menaikkan motivasi pemain Harimau Selatan untuk berdepan kelab besar di pentas ACL. – ©Berita Harian

Leave a Reply