UMNO Melaka tutup rapat hasrat Norhizam

Hebahkan !!!

MELAKA: UMNO menutup rapat hasrat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata UMNO mempunyai ramai tokoh yang jauh lebih baik dan setia berbanding Norhizam untuk bertanding pada PRU-15 kelak.

“Sebelum ini DAP menolak pinangan Norhizam begitu juga dengan UMNO kerana parti memiliki ramai tokoh lebih baik daripada dia, jadi apa perlunya dia kerana terbukti sudah diuji tiada kesetiaannya untuk bersama-sama kita dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

“Jadi kita tutup serapat-rapatnya, namun sekiranya dia mahu menjadi ahli biasa, saya mengalu-alukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Masjid Tanah malam tadi.

Sementara itu, UMNO Melaka mengalu-alukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15.

Ab Rauf berkata perkara itu telah ditetapkan pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan UMNO dapat merampas kembali pentadbiran di Putrajaya.

Menurutnya, apabila parti sudah membuat keputusan seharusnya ahli perlu menerimanya.

Beliau berkata semua ahli perlu memainkan peranan dengan tidak cuba mengocakkan air yang tenang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply