‘Saya menyamar untuk mengetahui penipuan sindiket pekerjaan Kemboja di media sosial’

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Seorang wartawan akhbar China Press menyamar untuk mengetahui betapa mudahnya rakyat Malaysia diumpan untuk bekerja di luar negara, yang dijanjikan pendapatan dalam dolar Amerika.

Polis Kemboja baru-baru ini menyelamatkan 16 belia Malaysia yang memaklumkan mereka ditawan oleh sindiket dalam talian selepas direkrut untuk menjadi “pekerja perkhidmatan pelanggan”.

Wartawan terbabit, yang menyamar sebagai belia Cina yang mempunyai sedikit pengalaman kerja dan ingin membayar hutang, menemui maklumat sindiket itu di Facebook dan menghubungi mereka melalui mesej Whatsapp.

Selepas dia dimasukkan ke dalam kumpulan sembang Whatsapp, seorang “pemantau” Malaysia mula berkomunikasi dengan wartawan itu dan memberitahunya bahawa dia akan bekerja sebagai “pekerja perkhidmatan pelanggan” di platform judi dalam talian.

Beberapa gambar yang dibekalkan sindiket terbabit, menunjukkan bilik komputer, lokasi di mana mereka yang direkrut akan bekerja, asrama tempat tinggal, dan bangunan di mana mereka akan ditempatkan.

Dia diberitahu bahawa mereka akan bertanggungjawab ke atas pasaran Eropah dan Amerika, dan akan menerima gaji asas RM8,000 setiap bulan serta komisen 10% hingga 25% untuk setiap transaksi yang berjaya.

Wartawan itu diberitahu, dia akan diterbangkan ke Kemboja dalam masa seminggu, dengan “syarikat” terbabit menguruskan tiket, visa, dan perbelanjaan lain, termasuk makanan dan penginapan.

Dia diberitahu akan ditempatkan bersama rakyat tempatan di sana dan membayangkan bahawa terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

“Pemantau” itu kemudian bertanya kepada wartawan itu sama ada dia mengenali orang lain yang sedang mencari pekerjaan, dan dia berpura-pura mempunyai teman wanita yang mungkin berminat untuk bekerja di sana juga.

“Terdapat banyak faedah apabila pasangan bekerja bersama,” katanya.

Tangkap layar hantaran media sosial mengenai pengambilan pekerja yang ditawarkan melalui hantaran media sosial.© Provided by Free Malaysia Today Tangkap layar hantaran media sosial mengenai pengambilan pekerja yang ditawarkan melalui hantaran media sosial.

“Mereka boleh memperoleh dan menyimpan wang bersama selama beberapa tahun, kemudian pulang ke negara asal untuk berkahwin dan membeli rumah. Tanya teman wanita kamu jika dia mahu datang. Kami boleh membantu menguruskan tiket penerbangan dan penginapan.”

Lelaki itu kemudian memberitahu wartawan terbabit untuk menumpukan perhatian kepada kerjanya semasa berada di Kemboja dan menasihatinya supaya tidak berjudi di rumah perjudian.

Apabila ditanya sama ada pekerjaan itu memerlukan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik, “pemantau” itu berkata cukup sekadar boleh berbahasa Mandarin kerana kebanyakan pelanggannya kebanyakannya adalah orang Cina, walaupun dia bertanggungjawab ke atas laman web perjudian Eropah dan Amerika.

“Umur kamu, bahasa atau taraf pendidikan kamu tidak penting. Asalkan boleh ‘menaip’, itu sudah memadai,” katanya.

Sebuah gelanggang bola keranjang yang terletak di bangunan tempat asrama pekerja terbabit.© Provided by Free Malaysia Today Sebuah gelanggang bola keranjang yang terletak di bangunan tempat asrama pekerja terbabit.

Wartawan itu kemudian diminta untuk menjalani “temuduga secara video” untuk membuktikan identitinya sebelum diterbangkan ke Kemboja, dan memberikan salinan pasportnya.

Bagaimanapun, dia berpura-pura memaklumkan bahawa pasportnya telah tamat tempoh ketika perintah kawalan pergerakan, dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan sindiket terbabit.

Laporan China Press berkata, ahli lain dalam kumpulan Whatsapp itu disyaki sebagai ahli sindiket yang menyamar sebagai pencari kerja yang berminat dengan pekerjaan itu dan sanggup pergi ke Kemboja.

Ini dipercayai bertujuan untuk menggalakkan bakal “pekerja” supaya segera menerima tawaran kerja mereka.

Leave a Reply