Sam Ke Ting dibebaskan dengan ikat jamin

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kerani wanita, Sam Ke Ting yang dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi memandu secara melulu sehingga menyebabkan lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga sebulat suara membenarkan permohonan Sam untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding hari ini, Sam dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan Sam yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.

Dalam masa yang sama, Muhammad Faizal ketika ditemui media memaklumkan mahkamah turut mengarahkan pihaknya memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari.

“Dia diikat jamin dengan RM10,000 iaitu jumlah sama yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret kerana Sam tidak pernah culas dan setiap masa hadir ke mahkamah.

“Dia diikat jamin oleh ahli keluarganya. Arahan mahkamah juga untuk pihak peguam memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari,” ujarnya.

Pada 14 April lalu, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar telah memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – ©Astro Awani

Leave a Reply