‘Pakai khemah apa pun terbang semua’, Rafizi tolak cadangan pembangkang

Hebahkan !!!

SUBANG JAYA: Calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menolak sebarang cadangan supaya PKR dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan pendekatan khemah besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Berucap di hadapan ahli PKR sempena kempen Pemilihan PKR 2022, Rafizi berkata sudah tiba masanya PKR bekerja bermula dari bawah bagi memenangi hati pengundi daripada terus berunding dengan parti lain untuk kembali ke Putrajaya.

Katanya, PKR dan Pakatan Harapan harus belajar daripada pengkhianatan yang berlaku dua tahun lalu, dipercayai merujuk kepada Langkah Sheraton apabila gabungan itu ditikam oleh parti komponennya, iaitu Bersatu.

Tonton video di sini.

“Pada ketika itu ada pimpinan parti katanya ada hubungan baik dengan PAS, Umno, Bersatu, mereka yakin mereka boleh yakinkan yang (presiden Umno) Zahid (Hamidi) sokong Anwar (Ibrahim). Saya terima dan saya balik buat kerja saya.

“Dua tahun kita kena tipu dengan (presiden Umno) Zahid (Hamidi), kena tipu dengan (bekas perdana menteri) Najib Razak lepas itu (PH) kena jatuh dengan (presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin),” katanya di sini.

Bagaimanapun, katanya, kejatuhan khemah besar PH pada ketika itu dituding kepada Anwar selaku pengerusi PH dan presiden PKR.

“Masalahnya, yang jadi mangsa adalah saudara Anwar, yang kena maki saudara Anwar. Sebab orang kata kamu boleh dapat angka yang cukup. Mana angka yang sepatutnya membantu.

“Sebab itu selepas dua tahun, saya kata sudah-sudahlah kita dapat sampai ke Putrajaya dengan pakai khemah, sekarang dengan zaman ribut cuaca, pakailah khemah macam mana terbang semua,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh ahli parti.

Dalam pada itu, Rafizi turut membidas beberapa pemimpin yang mengkritik pandangan beliau dan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bahawa gabungan itu perlu realistik terhadap PRU15.

“Dua tiga hari ini ramai bidas Izzah, pandangan beliau sama macam saya, kita kena realistik. Sebenarnya apa yang kami mahu sampaikan, kalau kita tak lakukan sesuatu secara drastik dalam tempoh empat bulan dari sekarang, kita akan kalah PRU,” katanya.

Izzah sebelum ini meramalkan PH memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan PRU untuk kembali menguasai Putrajaya.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, gabungan itu juga diramal berdepan laluan sukar dan akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.

Ramalan Izzah itu muncul beberapa hari selepas Rafizi mengeluarkan kenyataan bahawa adalah lebih baik bagi PKR dan PH berpuas hati untuk kekal sebagai “pembangkang yang bermaruah” berbanding menghebohkan keyakinan untuk menang dalam pilihan raya yang dijangka semakin hampir.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau kembali aktif di dalam parti hanya kerana ingin membantu menarik pengundi atas pagar yang semakin menjauhi parti itu selepas 2018 dan memberi keyakinan kepada pengundi tegar bahawa PKR sedang melakukan rejuvenasi dalaman.

“Kita ada masa empat bulan, satu-satunya sebab saya bertanding sebagai timbalan presiden adalah kerana saya merasakan kalau saya menang dia akan hantar isyarat yang baik kepada pengundi atas pagar di luar sana dan kedua, kepada penyokong tegar kita bahawa parti sekarang ini akan bawa perubahan baru,” katanya.

Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata sekiranya beliau kalah dalam merebut jawatan nombor dua parti, ia memberi isyarat kepada pengundi bahawa PKR akan teruskan agenda khemah besar.

“Pengundi akan ambil isyarat parti ini sebenarnya tak dengar kritikan dari luar tetap nak buat perkara (kesilapan) sama berulang- berulang, saya kempenlah macam mana pun tak jadi… susah,” keluhnya.

Leave a Reply