Lelaki didakwa tipu wanita RM152,500

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menipu seorang wanita yang dijanjikan perkahwinan dengan menyerahkan tertuduh wang tunai dan barang kemas berjumlah RM152,500.

Bagaimanapun, Hisyah Sayuti, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, Hisyah menipu kerani, Siti Nurdiana Md Sah, 40, dengan curang memperdayakannya untuk menyerahkan tertuduh wang tunai dan barang kemas itu untuk perkahwinan tidak wujud, yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, antara 6 Februari 2022 hingga 6 Mac 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon wang jaminan dikurangkan kerana hanya membuat kerja di kampung dan tiada pendapatan tetap.

Hakim kemudian menetapkan wang jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 25 Mei depan. – ©Berita Harian

Leave a Reply