Ada yang sanggup jual topi keledar, terdesak – Intelek

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Terdesak dapatkan wang sehingga jual topi keledar sendiri untuk menyara keluarga. Itu antara kisah menyayat hati diterima badan bukan kerajaan (NGO) di dalam misi bantuan sempena Ramadan setakat ini.

Kisah meruntun jiwa itu diterima Intelek Muda Nasional (Intelek) minggu lalu ketika mengaktifkan program bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi Intelek Mohammad Fadly Mohd Zain berkata, lelaki berkenaan berdepan masalah kewangan untuk membesarkan anak, tambahan pula isterinya sarat mengandung.

Katanya, disebabkan tiada jalan lain, lelaki berusia 30-an berkenaan itu mencuba nasib menjual topi keledar berkenaan dengan menjual topi keledarnya di sebuah pusat barangan tunai dengan harga RM18.

“Kami daripada pasukan Intelek di pusat yang sama untuk melihat sendiri keadaan masyarakat kita.

“Melihat lelaki berkenaan mengambil insiatif sebegitu, Intelek menawarkan bantuan asas kepadanya untuk meringankan beban,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Intelek juga membantu seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang mengambil upah mencuci peralatan milik peniaga Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Klang.

Katanya, ketika ditemui kanak-kanak itu merayau mencari kerja sebagai usaha untuk membantu ibunya.

“Dia mengakui mendapat upah sehingga RM20 setiap hari. Sebelum ini, dia bersama abangnya meminta sedekah di sekitar Klang.

“Daripada temu bual, kita dapati dia dan adik beradik lain tinggal dengan ibu selepas bapanya menghilangkan diri. Bayangkan, ketika rakan seusianya berpuasa bersama keluarga, dia pula terpaksa bekerja membantu keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amal Ehsan Care (AEC) Kelana Putra Muhamad berkata, antara kisah yang menarik perhatian pihaknya ialah warga emas yang menjadi gelandangan.

Katanya, kepayahan serta masalah keluarga menjadikan mereka terpaksa ‘bergelut’ untuk hidup dan bersendirian di bandar besar seperti ibu negara.

“Kalau yang muda dan masih sihat, kita biasa tengok di mana-mana kawasan gelandangan.

“Tetapi yang sudah berusia, pergerakan mereka agak sukar, termasuklah terpaksa meminta bantuan untuk mendapatkan lampu kerana tidak nampak,” katanya.

Justeru katanya, badan amal di Malaysia mengharapkan simpati dan ihsan masyarakat Malaysia untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply