Kerana hendak cari makan sanggup jual anak

Hebahkan !!!

Kabul: Pagi itu, seorang sukarelawan, Abdul Rahim Ghafari menerima panggilan daripada wartawan tempatan yang memaklumkan ada seorang pemandu teksi ingin menjual anak sebab miskin.

Ketika menerima aduan itu, Abdul Rahim, 27, yang juga pensyarah sambilan dalam jurusan ekonomi di Universiti Salam, Kabul menjelaskan perasaannya bercampur baur antara sedih dan bingung.

Namun, pada masa sama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Afghanistan, Ehsas Welfare And Social Services Organization (Ehsas) itu berkata, dia perlu bertindak segera menghalang urus niaga memilukan oleh ayah terhadap anak itu daripada berlaku.

“Tiga hari lalu seorang wartawan tempatan menghubungi saya memberitahu ada seorang pemandu teksi yang mahu menjual anaknya. Teksi itu bukan miliknya. Pendapatan harian berdasarkan berapa penumpang yang naik dan perlu ditolak sewa.

“Pemandu teksi itu ada beberapa anak yang lain dan dia berhadapan situasi ekonomi yang meruncing sebab selalunya tiada pendapatan apabila kerap terjadi seharian tidak mendapat penumpang. Jadi dia mahu jual anak perempuannya lingkungan usia tujuh tahun supaya anak yang lain dapat makan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, dia bertanyakan pemandu teksi itu mengapa mahu menjual anaknya. Jawapan diberi oleh lelaki buntu itu, katanya, kerana tidak meraih pendapatan langsung untuk makan.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh kebelakangan ini terpaksa merayau sekitar bandar dengan kenderaan untuk mencari penumpang.

“Disebabkan senario itu, tempat tumpuan seperti pasar menjadi sesak dengan teksi, kereta sewa atau kenderaan persendirian yang melakukan peranan teksi dengan mengambil penumpang untuk mendapatkan wang.

“Namun malangnya ramai yang mengambil jalan itu tidak dapat meraih sesen pun selama beberapa hari kerana persaingan yang sangat hebat.

“Itulah sebabnya pemandu teksi itu memilih pula langkah ekstrem dengan menawarkan anaknya untuk dijual,” katanya.

Ditanya berapa harga yang ditawarkan si ayah untuk menjual anaknya itu, Abdul Rahim berkata, perkara itu tidak diberitahu dengan jelas.

Namun, katanya, berdasarkan kes terdahulu harga jualan anak yang ditawarkan adalah sekitar 50,000 Afghan (kira-kira RM2,418) dan 60,000 Afghan (kira-kira RM2,902) tetapi tawaran terbabit masih boleh tawar-menawar.

Menurutnya, kes pemandu teksi itu bukanlah satu-satunya kes yang diterima Ehsas.

Abdul Rahim berkata, banyak lagi kes seumpamanya terjadi di seluruh Afghanistan.

“Saya tahu kejadian sama membabitkan sebuah keluarga di Ghor, wilayah yang terletak di tengah Afghanistan ke arah barat laut dan jarak dari Kabul kira-kira 400 kilometer (km).

“Ehsas sebagai organisasi sosial segera mengunjungi keluarga itu dan melindungi kanak-kanak berkenaan daripada dijual. Kami menjelaskan bahawa bantuan secara bulanan akan diberikan kepada keluarga terbabit untuk sementara hingga stabil. Kehidupan mereka sekarang agak stabil berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kes lain di Kabul membabitkan ibu sambil memegang anak-anak duduk di tengah jalanan yang mempunyai plakad tertulis ‘Untuk dijual.’

“Ini realiti yang kami lihat. Kami ada banyak kes sama diterima termasuk yang terbaru tiga hari lalu membabitkan pemandu teksi berkenaan dan anaknya yang sempat diselamatkan,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang ‘menghancurkan’, dengan lebih separuh daripada populasi negara berjumlah kira-kira 38 juta berisiko mengalami kekurangan makanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply